Majlis menghadap Tunku Nadzaruddin batal, Balai Undang dikawal polis
Pertemuan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim bersama barisan Exco dan beberapa wakil rakyat dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar di Seremban pagi ini dibatalkan atas faktor keselamatan, menurut sumber.
Sumber berkata pembatalan majlis menghadap di Galeri Diraja Tuanku Jaafar itu dibuat selepas pihak penganjur menerima nasihat daripada pihak berkuasa.
"Pertemuan hari ini dibatalkan atas faktor keselamatan selepas mendapat nasihat pihak berkuasa," kata sumber kepada Malaysiakini.
Sementara itu, peguam yang mewakili Tunku Nadzaruddin dan Undang Yang Empat mendakwa mereka tersekat di Balai Undang Sungai Ujong akibat sekatan polis.
"Undang Yang Empat dan Tuanku ada di Balai Undang Sungai Ujong. Balai Undang Sungai Ujong dikepung oleh polis," kata Emirul Sarifudin Nor Azmi.
Tinjauan Malaysiakini mendapati balai berkenaan dikawal ketat oleh pihak polis dan wartawan tidak dibenarkan menghampiri balai berkenaan.
Terdahulu, pertemuan yang dijadualkan pada 9 pagi di Galeri Diraja Tuanku Jaafar pada asalnya diadakan sebagai sesi suai kenal dan mengeratkan silaturahim antara Ismail, barisan Exco dan Tunku Nadzaruddin, yang mendakwa sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
/file/attachments/orphans/undang1_898103.png)
Selain barisan Exco, Speaker Dewan Undangan Negeri, Awaludin Said serta beberapa Adun daripada BN dan PN turut hadir di galeri berkenaan sejak kira-kira 8 pagi. Anggota polis turut dilihat berkawal di laluan masuk utama dan pekarangan Galeri Diraja berkenaan.
Turut kelihatan ialah Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad.
Selepas dibatalkan, rombongan Ismail beredar dari Galeri Diraja Tuanku Jaafar dan mengadakan pertemuan di sebuah hotel berdekatan.
Pertemuan kira-kira sejam itu diadakan pada waktu sarapan pagi.
Sebelum ini, satu himpunan solidariti dijadualkan berlangsung di Geleri Diraja Tuanku Jaafar bermula 8.30 pagi sebagai tanda sokongan kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
Bagaimanapun, tiada himpunan dilihat berlangsung di lokasi berkenaan dan keadaan sekitar galeri kekal tenang serta terkawal.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/2fad8db89eebcb4956856fc91429ec39.jpg)
Pembatalan majlis menghadap itu berlaku ketika kemelut berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan kesahihan barisan Exco negeri masih berlarutan.
Ismail sebelum ini menegaskan barisan 10 Exco negeri kekal sah dan akan terus menjalankan tugas walaupun Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak tindakan kerajaan negeri menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Muzalmah Mustapha Kamal.
AGC menegaskan pelantikan serta penggantungan tugas kedua-dua jawatan itu tertakluk kepada bidang kuasa suruhanjaya perkhidmatan berkaitan.
Sebelum ini, polis Negeri Sembilan memaklumkan kawalan keselamatan di negeri itu dipertingkatkan susulan perkembangan semasa bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan semua pihak terpelihara.
/file/attachments/orphans/undang13_832710.png)
