Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hubungan Ahmad Razif, istana kini timbulkan persoalan

Hubungan antara istana dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman kini menimbulkan persoalan selepas beliau diperkenalkan dalam dua majlis rasmi tanpa gelaran darjah kebesaran 'Datuk Seri'.

Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail berkata majlis yang diadakan semalam dan pagi ini hanya menyebut Ahmad Razif sebagai 'Yang Amat Berhormat Menteri Besar, tanpa gelaran lain.

"Ini sudah tentu bertentangan dengan amalan biasa," kata ADUN Bandar itu kepada Malaysiakini.

Portal AMANAH, Malaysia Dateline semalam memetik sumber yang mendakwa Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat lepas telah menarik balik gelaran kepada Ahmad Razif hingga mencetuskan khabar angin mengenai pertukaran menteri besar.

Menurut laporan Harian Metro pagi ini, Razif turut hadir semasa pelancaran majlis Persidangan Wakaf Senusantara 2016 di Hotel Primula di Kuala Terengganu yang dirasmikan oleh Sultan Mizan.

Razif, bersama-sama dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Osman Muda, bagaimanapun dilaporkan meninggalkan majlis sebelum wartawan mendapatkan komen mengenai perkara itu.

Satu kejadian yang sama telah dilaporkan berlaku pada majlis Umno Dungun malam tadi.

Berita Harian memetik sumber sebagai berkata bahawa gelaran itu dibatalkan melalui perintah secara lisan.

Malaysiakini telah menghubungi Ahmad Razif untuk mendapatkan komen.

Mengulas lanjut, Azan menegaskan bahawa semua pihak perlu menahan diri daripada membuat spekulasi ke atas perubahan menteri besar kerana perkara itu di bawah budi bicara penuh sultan.

"Sebagai ADUN, saya bersimpati dengan MB. Tetapi saya bersimpati lagi dengan rakyat kerana kerajaan negeri tidak akan dapat memberi tumpuan kepada menjalankan tugasnya," katanya.

Azan berkata, 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu kini "tergantung" selepas Razif menafikan bekas MB Datuk Seri Ahmad Said peruntukan di kawasannya. Ahmad Said adalah ADUN Kijal.

"Dengan menafikan peruntukan tersebut kepada Ahmad, menteri besar tidak lagi mengiktiraf beliau sebagai seorang ADUN BN," dakwa Azan.

BN mempunyai 17 ADUN, termasuk Ahmad, manakala kerusi pembangkang terdiri daripada 14 daripada PAS dan Azan merupakan ADUN PKR tunggal di Terengganu.

Ahmad bulan lalu memfailkan undi tidak percaya terhadap Razif tetapi ditolak oleh Speaker Dewan Undangan Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.

Ahmad mengesahkan Razif telah mengambil alih peruntukan untuk DUN Kijal.

Lihat Komen
ADS