Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: Tak pelik pecat pihak langgar peraturan
Diterbitkan:  May 7, 2016 3:59 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Sehari selepas pemecatan Datuk Husam Musa, presiden PAS berkata pemecatan pihak yang melanggar peraturan tidak pelik.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berkata ia bukan pertama kali berlaku, lapor Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya, seorang anggota parlimen PAS dipecat kerana hadir program anjuran BN yang melibatkan majlis tari-menari.

“Ini bukan lagi perkara pelik dan bukan hanya berlaku sekarang. PAS memecat ahli yang melanggar disiplin parti,” beliau dipetik sebagai berkata dalam ceramah di Jeli malam tadi.

Jawatankuasa tatatertib PAS semalam memutuskan memecat Husam, bekas naib presiden parti itu, kerana melakukan tindakan bersalahan dengan Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f), perlembagaan parti.

Jenis kesalahan tidak disebutkan secara khusus.

Husam antara pemimpin kanan PAS yang tersingkir beramai-ramai dalam pemilihan PAS tahun lalu kepada kumpulan Hadi.

Bagaimanapun, berbeza dengan pihak lain yang menubuhkan parti Islam baru Parti Amanah Nasional (AMANAH), Husam memilih kekal bersama PAS sehinggalah diumumkan dipecat semalam.

Beliau dilihat kritikal kepada kepimpinan kanan PAS, terutama ketika mengkritik pentadbiran kerajaan Kelantan, khususnya dalam isu pembalakan.

Lihat Komen
ADS