Bekas Timbalan MB Sgor keluar Umno
Bekas Timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad hari ini mengesahkan bahawa beliau sudah mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno dan menyertai sebuah parti pembangkang akhir bulan ini.
Bekas Timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad hari ini mengesahkan bahawa beliau sudah mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno dan menyertai sebuah parti pembangkang akhir bulan ini.
Ketua Umno Cawangan Batu 10, Cheras itu berkata, beliau mengambil keputusan itu bagi meneruskan kesinambungan politiknya "setelah tenaganya tidak diperlukan lagi oleh Umno".
"Saya tidak akan meninggalkan politik kerana ia sudah menjadi darah daging saya. Jika saya tidak diperlukan Umno, maka saya akan menyumbang melalui parti lain," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Malaysiakini
menghubungi beliau mengenai perkara tersebut, selepas tersebarkan berita bahawa beliau akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan diumumkan sewaktu majlis ramah mesra dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penubuhan cawangan baru, yang akan berlangsung malam Rabu ini di Bandar Baru Bangi.
Ketika diminta mengesahkan perkara tersebut, Zainal Abidin berkata, beliau belum membuat keputusan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Tunggulah saya membuat keputusan mengenainya hujung bulan ini," kata Zainal yang menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor selama sepenggal mulai 1999 hingga awal 2004.
Beliau bagaimanapun, mengesahkan akan menghadiri majlis anjuran PKR bersama Anwar di Bandar Baru Bangi Rabu ini jam 8 malam.
Fikir dahulu
"Tetapi ini bukan majlis untuk meraikan kemasukan saya ke dalam PKR seperti yang diheboh-hebohkan kerana sehingga ini saya belum mengisi borang keahlian parti tersebut.
"Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat PKR) mungkin mengumumkan kemasukan saya ke dalam PKR pada malam tersebut, tetapi saya akan memikirkannya terlebih dahulu," katanya.
Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor, Zainal merupakan orang kuat Umno Selangor dan pernah menjadi Exco kerajaan negeri selama lapan tahun dan Ketua Umno Bahagian Hulu Langat selama 14 tahun.
Beliau digugurkan daripada senarai calon pilihanraya umum lalu dan seterusnya melepaskan jawatan ketua umno bahagian berkenaan atas kehendak pemimpin atasan parti itu. Bagaimanapun, beliau masih menjadi Ketua Umno Cawangan Batu 10 Cheras.
Zainal berkata, beliau juga telah menghadiri Kongres PKR di Ipoh akhir tahun lalu sebagai tetamu undangan parti itu.
"Saya kerap menghadiri majlis Datuk Seri Anwar dan kehadiran saya adalah untuk meraikan beliau kerana kami berkawan sejak sekolah lagi," katanya.

