Dr Zainal serah borang ahli kepada Wan Azizah
Sepuluh cawangan baru Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditubuhkan di Selangor lapan di Hulu Langat dan dua di Serdang berikutan kemasukan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad ke dalam parti itu malam tadi.
Sepuluh cawangan baru Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditubuhkan di Selangor lapan di Hulu Langat dan dua di Serdang berikutan kemasukan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad ke dalam parti itu malam tadi.
Ketua penaja PKR Cawangan Saujana Impian, Jefri Din menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail di satu majlis meraikan kemasukan Dr Zainal ke dalam PKR di Bandar Baru Bangi. Hadir sama ialah penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan PKR lain dan pemimpin PAS dan DAP.
Cawangan lain ialah Bandar Kajang, Sungai Chua, Taman Cuepacs, Sungai Lalang, Dusun Tua, kampung Baru Semenyih dan Kampung Rinching Hulu dari Bahagian Hulu Langat dan West Country dan Sungai Ramal Dalam Dua Tambahan dari Bahagian Serdang.
Terdahulu, Dr Zainal menyerahkan borang keahlian menyertai PKR kepada Dr Wan Azizah di majlis yang sama yang diadakan di rumah Setiausaha PKR Bahagian Hulu Langat, Hamidi Abu Hassan pada jam 10.30 malam
Dalam ucapannya, Dr Zainal berkata, beberapa pemimpin Umno Bahagian Hulu Langat mengatakan mereka akan meninggalkan parti itu dan menyertai pembangkang dalam masa terdekat ini.
"Mereka memberitahu saya sendiri tentang hasrat mereka untuk menyertai pembangkang kerana sudah muak dengan politik Umno kerana pemimpinnya yang tamak haloba dan mementingkan kepentingan peribadi dari kepentingan rakyat," katanya.
Balas jasa Anwar
Beliau berkata, kemasukannya ke dalam PKR bukan kerana kecewa setelah tidak menjadi calon Umno dalam pilihanraya umum lalu, tetapi kerana mahu mencurah bakti kepada rakyat khususnya di Selangor.
Menurutnya, Umno kini dilanda kekusutan dan mungkin mengalami nasib sepertimana Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun yang tewas dalam pilihanraya meskipun menjadi parti pemerintah.
Katanya, penyertaan beliau ke dalam PKR juga adalah untuk membalas budi Anwar yang banyak membantunya dalam politik sehingga menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor dari tahun 1999 hingga 2004.
"Saya ingin mengisytiharkan saya akan terus bersama Datuk Seri Anwar dalam perjuangan politik dan saya tidak undur walau setapakpun," katanya.
Dr Zainal berkata, beliau menjadi Exco Selangor selama tiga penggal mulai 1991 kerana jasa baik Anwar yang mahukan beliau memegang jawatan tersebut.
Anwar pula berkata Dr Zainal akan menjadi `penghulu' kepada Keadilan di Selangor dalam usaha memantapkan lagi perjuangan parti itu di negeri tersebut.

