Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Noh: Hina JAIS sama dengan menghina sultan S'gor

Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar mencabar PKR untuk mengambil tindakan terhadap naib presidennya, Darell Leiking kerana didakwa menghina institusi agama di negeri itu, yang sama dengan menghina sultan Selangor.

Noh berkata kenyataan Leiking mempersoalkan khutbah di Selangor sama dengan mempersoalkan sultan Selangor, dengan menegaskan bahawa baginda bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di negeri itu.

Oleh itu, beliau mencabar PKR, menteri besar (Datuk Seri Azmin Ali), dan presiden PKR (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) yang juga seorang ADUN di negeri ini untuk mengambil tindakan terhadap Leiking.

Noh berkata tindakan Leiking menghina Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), sama dengan dia menghina sultan, kerana JAIS dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) adalah di bawah sultan.

"Sultan adalah ketua agama di negeri Selangor, jadi kalau mempertikaikan agama dan mempersoalkan khutbah, bagi saya, sama macam mempertikaikan sultan

"Jadi, kalau menteri besar negeri selangor, Datuk Seri Azmin ada maruah dan Wan Azizah ada maruah mempertahankan kesucian agama Islam, kita nak lihat apa tindakan yang dia nak ambil kepada naib presiden PKR ini.

"Kalau tidak, bagi saya, PKR juga tidak menghormati kesucian agama Islam di negeri Selangor," tegas Noh.

Noh yang juga menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan memberitahu pemberita demikian di Shah Alam hari ini semasa rumah terbuka Hari Raya Selangor Umno.

JAIS telah membuat laporan polis terhadap Leiking pada hari Jumaat, demikian menurut Harian Metro.

Pengarah JAIS, Haris Kassim dilaporkan menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat Leiking kerana mengulas mengenai khutbah hari raya yang memuji rang undang-undang berkaitan hudud yang dibawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam satu posting di Facebook bertarikh 7 Julai, ahli Parlimen Penampang menggesa Azmin untuk menjelaskan perkara itu dan menyatakan sama ada beliau bersetuju dengan khutbah itu.

Dalam laporan polis yang dibuat oleh JAIS Jumaat lepas, jabatan itu mendakwa Leiking sengaja menghina sultan Selangor dalam kapasiti baginda sebagai ketua agama Islam, dan JAIS sebagai pihak berkuasa agama Islam di negeri itu.

Dalam satu kenyataan semalam, Leiking berkata beliau bersedia untuk disiasat, dan menuduh mereka yang menuduhnya menghina sultan, telah memutarbelit kata-katanya.

Katanya, mereka yang tidak bersetuju dengannya pasti akan memutarbelit kata-katanya, sedangkan menurutnya, beliau tidak pun menyebut nama sultan atau perkataan sultan.

Azmin, ketika diminta ulasannya berhubung khutbah Aidilfitri Rabu lalu yang dilihat 'menyokong' rang undang-undang presiden PAS itu, sekadar berkata: "(Khatib) tak sebut pun nama presiden PAS (Abdul Hadi). Awak (yang) tafsir begitu."

Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS