Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada arahan solat hajat dari JAIS
Diterbitkan:  Jul 22, 2016 7:57 PM
Dikemaskini: 12:13 PM

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini berkata pihak mereka tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada seluruh masjid dan surau di negeri itu untuk mengadakan solat hajat untuk memohon supaya konsert Selena Gomez dibatalkan.

Dalam kenyataan dikeluarkan petang ini Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata sebarang keputusan membatalkan konsert tertakluk kepada bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ianya berada di luar bidang kuasa JAIS," katanya.

Selena yang mula mencipta nama sebagai bintang selebriti kanak-kanak dijadual mengadakan persembahan di Stadium Malawati pada 25 Julai ini.

Persembahan itu diadakan selepas penganjur bersetuju mematuhi ketetapan dibuat Majlis Bandaraya Shah Alam sebagai PBT di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun PAS menyatakan rasa tidak setuju mereka. Salah seorang daripada exco negeri dari parti berkenaan hari ini dilaporkan meminta masjid di Selangor mengadakan solat hajat memohon supaya program berkenaan dibatalkan.

Haris berkata tiada arahan dibuat kepada masjid dan surau di Selangor mengadakan solat hajat itu, sama ada selepas solat Jumaat atau pada bila-bila masa pun.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan mereka ada menerima beberapa permohonan dari masyarakat umum agar konsert tersebut dibatalkan.

"Permohonan tersebut telah dipanjangkan kepada PBT," katanya.

Lihat Komen
ADS