Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Risda rancang tanam ketum untuk dieksport
Diterbitkan:  Jul 27, 2016 12:13 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan mendapatkan kebenaran kerajaan bagi menanam pokok ketum untuk tujuan eksport ke luar negara.

Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata pihaknya mendapat permintaan tinggi untuk mendapatkan bekalan ketum daripada farmasi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

"Sehubungan itu, kami akan berbincang dengan kerajaan, Kementerian Kesihatan dan beberapa agensi berkaitan yang membuat kajian di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membenarkan ketum ditanam bagi tujuan eksport.

"Jika diluluskan, kami merancang mengusahakan projek perintis di negeri utara Semenanjung sebelum dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh negara.

"Projek ini jika dilaksanakan, dapat meningkatkan pendapatan berganda pekebun kecil yang selama ini hanya bergantung kepada hasil getah," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau ditemui selepas Majlis Konvensyen GAP RISDA Negeri Terengganu 2016 di Auditorium Kompleks Sukan Gong Badak, di Kuala Nerus, hari ini.

Zahidi berkata meskipun daun ketum mendapat permitaan tinggi di AS dan Eropah, namun Malaysia tidak mampu membekalkannya buat masa ini kerana penanaman tumbuhan itu dilarang di negara ini.

"Ketum mempunyai nilai perubatan tinggi dan pihak AS serta Eropah tidak menghadapi sebarang masalah dengan daun ketum yang dianggap mempunyai khasiat.

"Cuma, di negara kita, pengambilan daun ketum dilarang undang-undang sehingga ia dianggap negatif oleh sesetengah orang kerana ada pihak sering menyalahgunakannya," katanya.

Zahidi berkata, pihaknya sudah meminta laporan penuh daripada farmasi luar negara itu untuk memberi keyakinan kepada kerajaan membenarkan menanam ketum di negara ini.

Katanya, hasil kajian USM menunjukkan penggunaan ketum untuk perubatan dapat menstabilkan darah dan penyakit tertentu pada musim sejuk, sekali gus menyebabkan permintaannya tinggi.

Lihat Komen
ADS