Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Video Dr M sebut 'keling' disebarkan di Internet
Diterbitkan:  Aug 6, 2016 12:57 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Satu video memaparkan Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan perkataan “keling” kini beredar di media sosial dan aplikasi pesanan Whatsapp sejak semalam.

Pengedaran video itu dikesan ketika MIC akan mengadakan majlis makan malam sempena 70 tahun parti itu hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini menjadi sasaran kritikan Mahathir, dijadual merasmikan acara itu malam ini.

Perkataan "keling" dianggap rujukan menghina kaum India dalam konteks moden walaupun ia pada asalnya tidak dianggap begitu apabila perkataan itu dicetuskan pada abad ke-15.

Video 25 saat itu dipercayai dirakam dalam acara “Selamatkan Malaysia” di Langkawi pada Mei lalu.

Ia memuatkan kritikan Mahathir terhadap cara Najib menangani kumpulan bersenjata IS di negara ini.

Bagaimanapun konteks kenyataan itu dibuat tidak jelas.

“Oh, pasal Najib berjuang lawan IS.

“Kita tengok gambar Najib pegang senapang selalu, lawan dengan IS.

Mahathir kemudian secara berjenaka berkata: “Kata apa... orang Keling kata 'podah'. Ini bohong.”

Sementara itu, satu laporan polis telah dibuat pagi ini terhadap bekas perdana menteri itu berhubung perkara tersebut.

Menurut laporan itu yang dilihat oleh Malaysiakini, Murali Subramaniam membuatnya di balai polis Petaling Jaya pada jam 11.59 pagi.

Laporan itu menggesa pihak polis mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan terhadap Mahathir kerana didakwa menyakiti hati rakyat Malaysia berketurunan India dengan menggunakan istilah itu dalam video berkenaan.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS