Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi sebuah bank bergelar 'Tan Sri' dikenakan perintah reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana penerbitan buku bernilai RM15 juta.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya untuk menahan reman lelaki berusia 65 itu, sehingga 5 September.

Lelaki itu tampil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur
sebelum dibawa ke pejabat SPRM Putrajaya dan ditahan pada 3 petang semalam.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata semalam akaun bank Tan Sri itu mengandungi wang hampir RM1 juta telah dibekukan.

Tan Sri berkenaan adalah orang ketiga daripada bank itu ditahan SPRM
berhubung kes yang sama.

Sementara itu, empat lelaki termasuk pengarah urusan bank yang sama bergelar Datuk, bekas pengarah perolehan bank dan dua pemilik syarikat penerbitan yang tamat tempoh reman hari ini dibebaskan SPRM setelah siasatan selesai, hari ini .

Setakat ini, tujuh individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes itu
dan empat daripada mereka dibebaskan hari ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

-Bernama

Lihat Komen
ADS