Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita


Permohonan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali bagi kebenaran untuk mencabar status sulit laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 akan didengar pada 26 Oktober ini.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norazlin Othman menetapkan tarikh itu apabila perkara itu dikemukakan untuk pengurusan kes hari ini.

Peguam Azmin, Michelle Sunita Kummar dari firma Tommy Thomas & Co memberitahu pemberita bahawa pendengaran itu akan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Hanipah Farikullah.

Azmin yang juga adalah timbalan presiden PKR, bulan lalu memfailkan permohonan semakan kehakiman dan menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan kerajaan sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Permohonan itu dibuat bawah Perintah 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk mencabar pengelasan laporan itu sebagai sulit bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Beliau juga memohon perintah mandamus untuk memaksa ketiga-tiga responden, ejen dan pegawai untuk mengubah status sulit laporan 1MDB itu, menurut Seksyen 2C daripada OSA, dan memohon laporan itu didedahkan kepada orang ramai.

Permohonan semakan kehakiman perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu bagi memastikan permohonan itu bukannya remeh atau menyusahkan.

Ini adalah cabaran kedua ke atas status sulit audit akhir 1MDB selepas ahli Umno Melaka Muhammad Zahid Arip memfailkan cabaran sama sebelum ini.

Permohonan Zahid ditetapkan untuk pendengaran pada 10 November nanti.

Lihat Komen
ADS