Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'PAS bukan parti anak tangga'
Diterbitkan:  Oct 2, 2016 12:04 PM
Dikemaskini: 4:08 AM

Mana-mana parti politik yang ingin bekerjasama dengan PAS harus melakukan perubahan untuk menegakkan Islam kerana perjuangan parti itu membawa ke akhirat kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, PAS "bukan parti anak tangga" dan ahli parti terlibat perlu menghormatinya dan melihat sendiri sejauh mana mereka berani menegakkan Islam.

Tuntutan berkenaan dibuat presiden PAS itu bagi mengelakkan tiada pihak lain mempergunakan PAS.

"Jangan ajak PAS bekerjasama tetapi tidak buat perubahan kepada Islam, ini tidak betul. Selagi kuasa pemerintahan Islam tidak ditegakkan selama itulah orang yang memerintah tidak akan kira dosa pahala, akan rompak harta dan macam-macam.

“Cuma Islam mampu perbetulkan orang, PAS hanya boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin tegakkan Islam sahaja.

"Dalam hal ini, DAP jelas menentang dasar Islam diperjuangkan. Dan di sana ada juga parti lain yang ikut,” lapor Sinar Harian hari ini.

PAS dilihat menjarakkan diri daripada gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas memutuskan hubungan dengan DAP selepas kedua-dua parti itu bekerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Bukan pak turut

Kewujudan Parti Amanah Negara (AMANAH) semakin memburukkan hubungan itu dan PAS sering mengulangi kenyataan bahawa parti itu mengikut telunjuk DAP.

Pada masa sama PAS bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (BERJASA) dengan membawa slogan "politik matang dan sejahtera".

Kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menambahkan lagi jumlah pembangkang dalam negara ketika pilihan raya umum mesti diadakan selewat-lewatnya 2018.

BERSATU ketika ini dilihat cuba menjadi penghubung antara PAS dan HARAPAN.

Abdul Hadi berkata sikap sesetengah parti yang "senyap" dan seolah-olah "tiada pendirian" adalah petanda untuk menentukan sikap orang Islam di negara ini.

“Jadi orang PAS kena tengok molek (baik-baik) parti-parti ini sejauh mana mereka boleh bekerjasama dengan kita dalam tegakkan Islam. Penyokong PAS kena reti (tahu) sampai bila orang hendak guna PAS sebagai anak tangga bukan jadikan PAS tangga untuk perubahan,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Jelasnya menjadi tanggungjawab ahli PAS mengajak semua pihak - termasuk pengundi atas pagar - supaya sama-sama boleh membuat perubahan.

“Malangnya pihak yang ajak PAS bekerjasama naik atas kepala PAS dan orang PAS kena sedar perkara ini.

“Islam perlu menjadi pemimpin dan pemerintah bukan Islam menjadi pak turut, agama dan politik jangan kita letak suku-suku (berasingan),” katanya.

Lihat Komen
ADS