MCA bersetuju bertanding di dua kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka selepas berbincang dengan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Presiden MCA Wee Ka Siong mengesahkan keputusan itu pada sidang media di ibu pejabat parti berkenaan di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Menurutnya, sudah ada kerangka untuk memastikan perwakilan MCA, dengan keutamaan ketika ini untuk membentuk kerajaan.

“Dua kerusi dan mengenai apa juga kaedah dan bagaimana ia dapat disusun pastikan representasi MCA, kita sudah ada satu kerangka, saya yakin ia boleh dilaksanakan.

“Tapi yang penting kita bentuk kerajaan dulu, ada keperluan untuk kita pereratkan silaturrahim kita dari segi cara kita mengadakan perbincangan untuk kebaikan kita,” katanya.

Keputusan itu menyusul bantahan MCA terhadap pengumuman calon BN tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi parti.

Wee sebelum ini turut mendakwa kerusi yang pernah ditandingi MCA diserahkan kepada parti lain tanpa rundingan.

Pada 24 Oktober, Wee bersama pimpinan MCA meninggalkan majlis pengenalan calon BN dan meminta kepimpinan pusat gabungan itu campur tangan bagi menyelesaikan pertikaian berkenaan.

Pada pengumuman calon pada tarikh itu, BN memperuntukkan Machap Jaya dan Kelebang kepada MCA, dengan kedua-dua penyandangnya, Ngwe Hee Sem dan Lim Ban Hong, dinamakan untuk mempertahankan kerusi masing-masing.