Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Najib terdesak, ugut dan tindas ahli BERSATU'
Diterbitkan:  Oct 12, 2016 5:06 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

ULASAN l Semasa menerima borang untuk jadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), ada yang menyatakan mereka menerima ugutan dari parti Umno dan kerajaan Najib.

Bermacam jenis ugutan dibuat termasuk tidak akan memberi BR1M, disingkir dari Umno, atau lucut jawatan dalam kerajaan dan agensi-agensinya, tidak diberi kontrak, biasiswa tidak akan diberi dan akan ditarik balik dan sebagainya, bank akan tuntut hutang lebih awal dan akan tolak permohonan.

Tetapi mereka masih sanggup didera seperti ini kerana kepercayaan bahawa akhirnya, dengan penyertaan mereka dalam BERSATU dan mengundi baginya dalam PRU14, nikmat berkali ganda akan diperolehi oleh negara dan diri mereka juga.

Mereka menyatakan bahawa tekanan terhadap mereka tidak akan berjaya menghalang mereka dari menyertai BERSATU. Dan mereka berusaha mendapat bumiputra lain termasuk ahli Umno supaya menyertai BERSATU.

Perjuangan bagi mereka bermakna kesanggupan mengatasi sebarang rintangan. Perjuangan tidak bermakna jika jalan ke arah matlamat terbuka luas dan ditabur dengan bunga mawar sepanjangnya.

Sesungguhnya Najib amat terdesak untuk melemahkan semangat saya juga.

Bukan sahaja escort motosikal polis ditarik balik tetapi pegawai saya dan tukang masak saya pun hendak ditukar.

Kena cukai tambahan

Semua kenalan saya diganggu dengan menghantar jabatan hasil dalam negeri untuk ugut terutama mereka yang berniaga. Jikalau semua cukai sudah dibayar pun cukai tambahan dikenakan.

Orang-orang Proton tidak dibenar bercakap dengan saya, dan peniaga kenalan saya tidak dibenar mengadakan business dengan Proton. Tujuan Najib ialah supaya Proton bankrap dan boleh dijual dengan murah.

Nama saya tidak boleh dikait dengan Proton. Proton hendaklah dijual kepada orang asing 100 peratus supaya industri kereta nasional dihapuskan.

Hanya kereta import sahaja yang boleh dijual di Malaysia. Jangan ada apa-apa yang dimula oleh saya. Biar hancur industri tempatan asalkan Najib puas hati.

Sesungguhnya ramai juga orang Malaysia yang takut didera oleh kerajaan Najib. Itulah demokrasi Najib.

Saya tidak putus asa dan saya percaya rakyat Malaysia akan terus memiliki semangat juang untuk jatuhkan kerajaan kuku besi Najib. Mereka tidak takut.

Lebih kuat tekanan lebih bencilah mereka terhadap Najib dan kerajaannya. Semua mereka malu dan tidak ingin melihat negara tercinta ini memiliki seorang PM yang dituduh dan dipercayai oleh seluruh dunia telah lesap (curi) berbilion duit rakyat.

Saya sedar dan rakyat juga sedar akan tujuan undang-undang baru berkenaan sekuriti. Ia bukan untuk pengganas asing kerana undang-undang sedia ada sudah mencukupi.

Ia bertujuan mematah semangat dan memberhentikan sebarang protes terhadap Najib.

Tanpa restui Agong

Undang-undang ini yang tidak direstui oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu memberi kuasa kepada Najib mengisytihar kawasan sekuriti dan dengan itu sesiapa sahaja boleh di masuk dalam tahanan tanpa dibicara.

Ini lebih buruk dari ISA.

Jika sesiapa terbunuh atau dibunuh, sama ada anggota keselamatan atau orang awam, tidak ada inquest (pemeriksaan oleh majistret berkenaan sebab-sebab kematian) yang akan diadakan. Dan keluarga simati tidak boleh bawa kes ke mahkamah untuk mendapat keadilan.

Sebenarnya undang-undang seperti ini tidak boleh disahkan tanpa tandatangan Yang di-Pertuan Agong. Tetapi Najib tidak peduli kepada undang-undang atau aturan-peraturan.

Ia PM dan ia percaya sebarang pencabulan undang-undang olehnya tidak boleh didakwa di mahkamah. Pendakwarayanya jinak akan halang.

Semua ini menjadi tanda bahawa demokrasi sudah tidak ada lagi di Malaysia. Yang ada hanyalah pemerintahan kuku besi, pemerintahan diktator.

Rakyat akan membantah penghapusan demokrasi di negara tercinta ini melalui proses yang halal. InsyaAllah ketegasan rakyat akan akhirnya menamat salah laku Najib.


TUN DR MAHATHIR MOHAMAD adalah bekas perdana menteri Malaysia. Artikel ini pertama kali dimuatkan di blognya.

 

Lihat Komen
ADS