Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kecoh bila konvoi BERSIH diganggu, media diugut

Konvoi BERSIH yang sepatutnya tenang bertukar hodoh berikutan kekecohan antara penyokong kumpulan reformasi pilihan raya itu, kumpulan anti-BERSIH dan pengamal media.

Sebagai sebahagian daripada aktiviti hari ini, konvoi tersebut berpecah kepada tiga kumpulan bagi mengedarkan risalah kepada penduduk tempatan di Kuala Selangor berhubung perhimpunan BERSIH 5.

Kumpulan itu yang ditempatkan di pasar raya besar Giant kemudian melihat sekumpulan penunggang motosikal - kira-kira 20 orang - mengelilingi kawasan itu sebanyak dua kali.

Pada mulanya ia dianggap hanya gangguan biasa tetapi keadaan mula berubah apabila exco Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah tiba.

Armand dan penyokong BERSIH dilihat berjabat tangan dan berpelukan tetapi individu di sebelahnya tiba-tiba mula memprovokasi penyokong BERSIH.

"Jangan ganggu penduduk Tanjung Karang!" lelaki yang berpakaian T-shirt putih dengan tertera perkataan 'Hari Sukan Negara' itu menjerit.

Keadaan menjadi lebih kecoh apabila lelaki itu menjerit supaya tidak merakam sebarang gambar.

Berikutan itu, juruvideo dari The Star terpaksa memadamkan rakaman video lelaki itu.

Beliau juga telah dicubit ketika kumpulan anti-BERSIH memaksanya untuk berbuat demikian.

Jeritan dan laungan lebih kuat kedengaran tetapi pegawai polis yang ditempatkan berdekatan segera datang untuk campur tangan.

Salah seorang pegawai polis itu menggesa penyokong BERSIH dan kumpulan anti-BERSIH bersurai.

Seorang wartawan dari The Star juga dipaksa memadam gambar dan rakaman video itu. Manakala rakan sekerja beliau dikasari kerana cuba untuk campur tangan.

Seorang wartawan Malaysiakini turut dikasari kerana cuba masuk campur bagi pihak wartawan wanita.

Berikutan pergelutan itu, pegawai polis menahan dua lelaki dan mereka dibawa dalam sebuah kereta polis.

Sebelum itu, seorang jurugambar Malaysiakini diancam dan ditumbuk selepas dia mengambil gambar kumpulan anti-BERSIH yang berasingan.

Ketika beliau pergi ke keretanya untuk meninggalkan kawasan itu, jurugambar itu ditumbuk di bahunya dan dijerit 'Cina babi' oleh seorang lelaki.

Tiada seorang pun daripada individu-individu anti-BERSIH hari ini berpakaian baju merah.

Sementara itu pemeriksaan polis terhadap salah sebuah kereta anggota kumpulan itu menemui sekotak telur ayam yang diletakkan di dalam bonet.

Minggu lepas, pergerakan Baju Merah yang diketuai Ketua Bahagian Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos membaling telur dan menyerang seorang penyokong BERSIH sehingga mencetuskan kemarahan di media sosial.

Jamal semalam berkata gerakan itu tidak akan masuk campur dalam konvoi BERSIH hari ini bagi membantu penduduk kampung menghadapi fenomena air pasang.

Kumpulan yang menyebabkan gangguan hari ini, bagaimanapun, tidak memakai baju merah.

Bagaimanapun mereka dipercayai ada kaitan dengan Jamal kerana sebahagian daripada mereka pernah diperhatikan berada dalam perhimpunan Baju Merah sebelum ini.

Konvoi BERSIH hari ini memulakan perjalanan dari ibu pejabat DAP di Sekinchan.

Kumpulan kira-kira 20 peserta yang menaiki kereta itu kemudian berhenti di Kampung Permatang, Kuala Selangor untuk majlis minum petang dan mendengar ucapan daripada beberapa aktivis dan pemimpin Pakatan Harapan.

Selain Sekinchan, konvoi hari ini juga bermula di Pulau Pinang; Kluang, Johor; Kota Bharu, Kelantan dan Ranau, Sabah.

 

 

Lihat Komen
ADS