Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana menteri menggesa orang Melayu menggalakkan anak masing-masing menjadi saintis data selain kerjaya lazim yang digemari sebelum ini.

Kata Datuk Seri Najib Razak kerjaya seperti saintis data adalah "pekerjaaan masa depan" dan memungkinkan orang Melayu menjadi "berjaya lagi mulia" pada alaf baru yang dianggapnya sebagi era Revolusi Perindustrian Keempat.

"Kalau dulu kita tanya anak kita, pelajar kita: Apa cita-cita? (Mereka) sebut nak jadi doktor, sebut nak jadi engineer, sebut nak jadi lawyer.

"Tapi yang diperlukan, demand-nya sekarang, apa dia?

"Selain daripada kategori ini (ialah) big data, data scientists, data professionals," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-62 Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Kuala Lumpur hari ini.

Najib adalah penaung GPMS.

Kata perdana menteri apabila memberikan semangat kepada anak-anak pada hari ini ibu bapa mesti "masukkan ke dalam hati mereka" supaya mahu menjadi saintis data.

"Inilah pekerjaan of the future. Inilah pekerjaan yang memungkinkan kita menjadi bangsa yang berjaya lagi mulia," katanya.

Tambah Najib jika seseorang memasuki sektor perkilangan moden, mereka tidak lagi manusia bekerja di bahagian pengeluaran kerana tugas itu diambil alih mesin atau robot.

Menyentuh lawatannya ke China awal bulan ini Najib memberitahu negara itu menggunakan sistem ekonomi digital "3-1-0".

Beliau berkata sistem itu memanfaatkan sistem data besar untuk memproses permohonan pinjaman dalam tempoh tiga minit dan memindahkan dana dalam satu minit tanpa melibatkan interaksi manusia sepanjang proses tersebut.

Justeru, katanya, tumpuan perlu diberikan kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik untuk menyediakan belia Melayu menghadapi apa-apa masa depan.

Lihat Komen
ADS