Paling Popular
Terkini

Meskipun ditahan reman kerana mengadakan sekatan anti-pembalakan di Pos Petei, Gua Musang, Orang Asli di kawasan itu tekad akan membina lebih banyak sekatan bagi memberi tekanan kepada kerajaan negeri Kelantan.

Setiausaha bagi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Mustafa Along berkata pihaknya akan membina enam hingga tujuh sekatan bagi menggesa menteri besar Kelantan turun mendengar suara mereka.

“Apa yang pasti saya dan rakan-rakan tidak akan putus asa. Kalau sebelum ini kita ada tiga sekatan, selepas ini kita akan buat enam atau tujuh sekatan untuk beri tekanan pada kerajaan negeri supaya turun berbincang dengan Orang Asli dan dengar kehendak kami.

“Pada kami tindakan kerajaan lepas tangan, kerajaan negeri enggan bertanggungjawab lepas luluskan berpuluh ribu hektar pembalakan, pada saya ia lepas tangan.

“Sekarang kami tuntut mereka datang dan berbincang,” katanya kepada Malaysiakini.

Mustafa adalah antara 47 aktivis Orang Asli yang ditahan kerana mengadakan sekatan anti-pembalakan di Pos Petei, Gua Musang dan dibebaskan semalam.

Kesemua mereka yang ditahan dalam operasi merobohkan sekatan di Pos Petei dan Pos Bihai di hutan simpan Balah, direman antara dua dan tiga hari di Mahkamah Majistret Gua Musang.

Tangkapan terbaru

Manakala tangkapan terbaru melibatkan tujuh lagi Orang Asli di Gua Musang, kali ini di Pos Pasik, yang ditahan selepas polis bertindak merobohkan sekatan yang berasingan petang semalam.

Mengulas lanjut Mustafa menyifatkan penahanannya kerana kerajaan negeri sekadar mahu menakut-nakutkan mereka supaya tidak lagi membuat sekatan.

“Penahanan kami adalah isyarat dari kerajaan negeri dan pada kami adalah tidak lebih untuk menakut-nakutkan kami supaya tidak lagi buat sekatan.

“Sebenarnya dalam kertas siasatan semalam tidak banyak disoal mengenai tanah tapi soalan apa banyak tanaman, berapa banyak dari hasil pokok pisang. Mereka tak ada dari apa yang dituduh,” katanya.

Jelasnya, beliau dan rakan-rakan akan terus membina sekatan kerana ia adalah salah satu cara untuk menyelamatkan hutan.

Selain itu katanya, beliau sanggup bergadai apa sahaja demi kehidupan tanah yang selama ini mereka diami dapat diselamatkan.

Sekatan baru

Mustafa berkata, beliau tidak takut sekiranya ditangkap sekali lagi kerana membina sekatan baru.

“Kami pertahankan perkara yang benar, kenapa takut berbuat benar, tak ada sebab untuk takut.

“Selagi tidak dihentikan, kami akan terus buat sekatan, kami akan terus desak, kami tak kisah akan bertahan berapa lama sebab sekarang ini makin banyak hutan yang musnah.

“Kehidupan kami bergantung dengan hutan, adat, budaya kehidupan kami semua dalam hutan. Kami percaya dengan dengan jaga hutan kita kurangkan impak bencana alam seperti banjir seperti 2014,” tegasnya.

Sementara itu Mustafa menolak kenyataan dalam laporan Harakah yang terus memainkan isu bahawa “orang luar” yang didakwa menyusahkan pelbagai pihak dalam bantahan terhadap kegiatan pembalakan di Gua Musang.

“Mereka kata banyak Orang Asli yang dihasut tapi siapa yang sanggup hasut sampai Orang Asli masuk ke lokap, kami ambil tindakan ini lahir dari kesedaran kami sendiri,” katanya.

Lihat Komen
ADS