Paling Popular
Terkini

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru campur tangan masyarakat antarabangsa terhadap isu penghapusan etnik Rohingya di Myanmar.

Katanya badan dunia seperti Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu menyatakan pendirian bagi menyelamatkan orang Islam di sana.

“Dilaporkan oleh media betapa kerajaan Myanmar mengkritik Malaysia kerana campur tangan.

“Krisis Myanmar bukan sahaja mewajibkan campur tangan Malaysia tapi semua yang tandatangan piagam hak asasi manusia PBB, persetujuan Geneva, Asean, OIC dan semua pejuang hak asasi manusia,” kata Hadi dalam ucapannya di Perhimpunan Solidariti Ummah untuk Rohinga di Stadium Mini Titiwangsa hari ini.

Jelasnya setiap parti politik juga harus berganding bahu dalam menyelesaikan isu ini kerana ia adalah masalah berkaitan hak asasi manusia.

Kata Hadi lagi, setiap negara tidak boleh hidup bersendirian dan pihak antarabangsa harus bersama dalam menyalurkan bantuan.

“Satu negara tidak boleh hidup bersendirian. Negara memerlukan makanan, pakaian, pengangkutan yang tidak mungkin dihasilkan oleh satu masyarakat sahaja.

“Wajib campur tangan antarabangsa didahulukan dengan cara diplomasi kemudian dengan cara daturat. Jangan menghormati hak haiwan liar lebih penting daripada hak asasi manusia,” katanya.

Perhimpunan yang bermula pada jam 8.30 pagi disertai lebih 10,000 orang bagi membantah penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Perhimpunan penuh warna warni turut dihadiri anggota PAS, kumpulan Baju Merah dan masyarakat Rohingya yang menetap di negara ini.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu pemimpin PAS yang kelihatan hadir adalah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Nik Mohamad Abdul Nik Aziz dan Datuk Takiyuddin Hassan.

Para peserta membawa sepanduk, antaranya berbunyi 'bebaskan Rohingya' dan 'Rohingya memerlukan suara anda untuk hapuskan pembersihan etnik'.

Lihat Komen
ADS