Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPR tangguh prosiding siasatan persempadanan semula di S'gor
Diterbitkan:  Dec 17, 2016 5:52 AM
Dikemaskini: 9:56 PM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menangguhkan prosiding siasatan tempatan terhadap cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Selangor.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan semalam berkata ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan kerajaan negeri Selangor untuk menangguhkan proses itu.

"Sebagai mematuhi perintah mahkamah itu, SPR akan menangguhkan prosiding siasatan tempatan bagi mendengar bantahan-bantahan terhadap Syor-Syor Kajian Semula Persempadanan tersebut seperti mana arahan oleh mahkamah sehingga keputusan mengenainya dimuktamadkan," katanya.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam membenarkan permohonan kerajaan negeri Selangor untuk menangguhkan siasatan SPR tentang cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan dewan undangan negeri.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu setelah mendapati kerajaan negeri itu mengikut semua peraturan berkaitan permohonan berkenaan dan terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan itu.

Azizul juga berkata kerajaan negeri Selangor mempunyai hak untuk membantah cadangan
persempadanan semula itu. Mahkamah membenarkan penangguhan itu sementara
menunggu pendengaran permohonan semakan semula kehakiman Kerajaan Selangor pada 20 Januari 2017.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata sehingga hari ini, SPR telah menjalankan prosiding siasatan tempatan kali pertama bagi bantahan terhadap Syor-Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu kecuali Selangor.

Negeri-negeri yang terlibat ialah Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Melaka, Kelantan dan Terengganu.

"Di Sabah pula telah selesai dijalankan pada 28 Okt0ber dan notis pameran Syor-Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi negeri itu untuk kali kedua juga telah dipamerkan bermula pada 22 November hingga 21 Disember ini," katanya.

Mohd Hashim berkata SPR telah mendengar sebanyak 276 representasi bantahan yang layak mengikut undang-undang iaitu 13 bantahan bagi Sabah dan 263 bantahan bagi negeri-negeri Tanah Melayu kecuali Selangor sepanjang tempoh prosiding siasatan tempatan kali pertama itu dijalankan pada 23 Oktober hingga hari ini.

"SPR telah dan akan memberi perhatian serta pertimbangan sewajarnya terhadap semua bantahan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Keputusan bantahan-bantahan tersebut akan dimaklumkan menerusi Pameran Syor-Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi negeri-negeri Tanah Melayu kali kedua yang mana notis mengenainya akan disiarkan di akhbar tempatan setelah segala urusan berkaitannya selesai," katanya.

Mohd Hashim berkata SPR bersikap terbuka dalam menjalankan tanggungjawabnya melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya di setiap negeri dengan adil dan mematuhi setiap peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS