Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jamal berdegil teruskan operasi resortnya
Diterbitkan:  Dec 23, 2016 8:46 PM
Dikemaskini: 12:48 PM

Pemilik Sekin Fishermen Village Hotel & Resort, Datuk Seri Jamal Md Yunos bertindak meneruskan operasi resortnya hari ini walaupun Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) telah menyita dan mengarahkan premis itu ditutup selama 14 hari bermula semalam.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar mendakwa pihaknya telah mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan, namun gagal memperolehi lesen sah kerana campur tangan politik pihak tertentu.

"Resort ini telah dibangunkan lapan tahun lalu dan mula beroperasi sejak 2011, persoalannya kenapa tidak diberi lesen oleh MDSB walaupun semua syarat telah dipatuhi?," katanya kepada pemberita di resort berkenaan, hari ini.

Terdahulu, Jamal bertindak 'merasmikan' resort tersebut buat pertama kalinya sejak 2011 dengan memotong reben selain mengoyak notis arahan penutupan oleh MDSB.

Mengulas mengenai tindakan Pejabat Daerah dan Tanah yang merobohkan 11 bilik bangunan yang masih dalam pembinaan, Jamal berkata pihak berkenaan sepatutnya memberi notis terlebih dahulu sebelum merobohkan bangunan tersebut.

Jamal berkata peguamnya akan mendapatkan perintah mahkamah Isnin ini bagi menarik balik arahan sita dan penutupan resort itu.

Semalam, MDSB bertindak menyita resort seluas empat hektar yang mempunyai 100 unit bilik itu kira-kira pukul 10 pagi.

Yang Dipertua MDSB, Azlinda Azman berkata penutupan berkuat kuasa semalam itu dibuat mengikut Undang-undang Kecil 38, Undang-undang Kecil Hotel MDSB 2013 kerana menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen sah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS