Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penipuan umrah: ADUN mahu T'ganu bertanggungjawab
Diterbitkan:  Jan 3, 2017 6:19 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Kerajaan Terengganu mesti bertanggungjawab terhadap kerugian 4,800 orang peserta ekoran dakwaan kes penipuan umrah yang dikaitkan dengan Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT), kata anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Terengganu.

Azan Ismail mempersoalkan bagaimana YBNT boleh diberi kepercayaan mengendalikan umrah yang didakwanya tidak cukup syarat pengendalian.

Wakil rakyat itu mendakwa badan itu membelakangkan fungsi pihak berkuasa agama iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM).

"Pihak kerajaan negeri Terengganu mestilah bertanggungjawab terhadap kerugian yang ditanggung oleh 4,800 orang peserta termasuk guru serta ahli keluarga mereka dalam kes kecuaian serta skandal penipuan ini.

"Umrah adalah perkara agama dan sepatutnya pihak berkuasa agama perlu dimartabatkan dalam isu penajaan serta perlu dirujuk kepada pihak MAIDAM dari segi hukum-hakam serta kaedah pelaksanaannya," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurut laporan Sinar Harian, polis Besut menerima 40 laporan berhubung kes penipuan pakej umrah dipercayai oleh YBNT yang membabitkan lebih 4,000 mangsa dengan nilai RM14.2 juta.

Menurut polis Besut lagi, orang ramai tampil membuat laporan polis selepas dua lelaki- akauntan dan pengarah eksekutif YBNT ditahan reman minggu lalu.

Selain dua lelaki berkenaan, hari ini seorang lagi ditahan reman, iaitu penolong pengarah, ditahan selama empat hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.

Berita Harian pula melaporkan, pihak yang ditahan didakwa melakukan penipuan umrah dengan mengenakan pakej umrah murah.

Peserta umrah dikatakan hanya perlu membayar RM3,000 berbanding pakej bernilai RM6,990, manakala selebihnya dikatakan akan ditaja.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi YBNT berkaitan dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS