Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'gor tiada kuasa pada kutipan 20 sen beg plastik
Diterbitkan:  Jan 11, 2017 3:39 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Bayaran20 sen yang dikenakan untuk pengguna mendapatkan beg plastik di Selangor sepatutnya digunakan untuk pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar.

Seorang pegawai dasar di pejabat exco Selangor, Adrian Yeo, berkata perkara itu dipersetujui antara pemilik pasar raya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan selepas dasar mengenainya diamalkan setiap satu.

"Mengikut ketetapan kementerian - yang mencapai persefahaman dengan pasar raya - kutipan daripada 20 sen itu akan digunakan untuk projek perlindungan hidupan liar dan pemuliharaan," katanya kepada Malaysiakini.

Selangor mula melaksanakan dasar tidak menggunakan beg plastik di semua pusat komersial utama setiap Sabtu sejak 2010, sebelum diperluaskan sepanjang masa tahun ini.

Pengguna yang tetap ingin menggunakan beg plastik bagaimanapun boleh mendapatkannya dengan membayar 20 sen setiap satu.

Yeo yang menjadi pegawai dasar kepada Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong bagaimanapun mengakui, kerajaan negeri tidak ada kuasa untuk mengaudit penjaja atau peniaga yang mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang diingini pengguna.

"Dari segi perundangan kerajaan negeri tidak ada kuasa untuk mengaudit mereka atau mengarahkan pihak terbabit untuk membuat apa-apa.

"Bagaimanapun kami menggalakkan mereka untuk berbuat begitu (menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar), dan kebanyakan mereka sudah melakukannya," kata Yeo.

Dia juga mengakui kos bagi setiap satu beg plastik adalah kurang daripada 20 sen.

Katanya, jika dikira mengikut berat, setiap beg plastik hanya bernilai beberapa sen.

Yeo juga menafikan caj berkenaan akan menyebabkan inflasi kerana pengguna boleh memilih untuk membawa beg sendiri dan tidak membeli beg plastik ketika berbelanja.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Shariffa Sabrina Syed Akil, berkata duit daripada penjualan beg plastik sepatutnya dibelanjakan bagi progam pemuliharaan alam semula jadi.

"Wang itu wajar dibelanjakan untuk penanaman semula hutan, membersih sungai dan mewujudkan skuad khas bagi melindungi alam sekitar," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS