Paling Popular
Terkini

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad menolak dakwaan Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, yang mendakwa tindakan menyahsenarai syarikat Felda Global Ventures (FGV) akan membawa kerugian sebanyak RM7.8 bilion.

Menurut Shahrir dakwaan Rafizi itu juga bersifat spekulasi.

"Ini semua spekulasi. Matematik dia (Rafizi) pun bukan matematik betul," katanya pada sidang media Majlis Ahli Parlimen BN di bangunan parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau sebelum itu menyerahkan bantuan bernilai RM24,000 kepada Tabung Pahlawan yang dikhususkan untuk membantu bekas anggota tentera.

Minggu lalu Rafizi berkata, akan berlaku kerugian besar jika syarikat FGV dikeluarkan dari senarai awam Bursa Malaysia.

Menurut naib presiden PKR itu, risiko berkenaan adalah daripada pembelian semula saham daripada pemegang saham - bernilai RM2.9 bilion, manakala RM2 bilion lagi adalah nilai wang rakyat yang hilang akibat kejatuhan harga saham FGV.

Sebanyak RM2.9 bilion pula kerugian daripada pelbagai bayaran yang dibuat syarikat itu termasuk pembayaran semula pinjaman.

Menurut Shahrir, setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat untuk menyahsenaraikan FGV daripada Bursa Malaysia.

"Kami melihat kepada segala pilihan yang ada.

"Sebagai pemegang saham utama, kami mahu melihat prestasi FGV, itu paling utama," katanya yang juga anggota parlimen Johor Bahru.

Sementara itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Lembaga Pengarah FGV berkata, tiada perbincangan dibuat untuk menjadikan badan itu syarikat persendirian.

"FGV dimaklumkan tidak ada perbincangan mengenai urusan itu di peringkat lembaga pengarah. FGV juga tidak menerima sebarang cadangan daripada pemegang saham yang lain mengenai perkara yang sama," katanya dipetik Bernama hari ini.

Syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012 dengan tawaran awam permulaan (IPO) berharga RM4.55 menjadikan ia disebut-sebut sebagai yang kedua terbesar di dunia.

Antara pemegang utama saham FGV selain Felda ialah Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagaimanapun harga saham FGV merudum beberapa tahun kemudian dan sehingga tengah hari tadi, ia didagangkan pada RM1.76 seunit.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS