Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi FELDA yang baru dilantik, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata agensi itu akan menjual hotelnya di London bagi mendapatkan sumber kewangan.

Katanya, aset tersebut tidak memberi pulangan banyak selain ia tidak mempunyai ‘nilai sentimental’ kepada rakyat di negara ini.

"Semua aset di luar negara akan diteliti semula dan kita akan jual jika taksiran menunjukkan ia tidak mampu menjana keuntungan seperti diharapkan, sekali gus memberi bebanan kewangan tambahan kepada Felda.

"Setakat ini, kita sudah putuskan untuk menjual aset hotel Felda di London kerana nilainya mengalami penyusutan mendadak," katanya dalam sidang media di Menara Felda hari ini.

Jelasnya pencairan aset hotel di London itu dijangka menjana pulangan antara RM500 juta hingga RM1 bilion, manakala penjualan pegangan saham FELDA di Maybank mampu meraih RM280 juta.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai langkah masa depan Felda selepas menjual sebahagian daripada kepentingannya dalam Maybank.

Semalam The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Felda menjual sebahagian daripada kepentingannya dalam Maybank untuk mengumpul dana sehingga RM280 juta.

Felda membuat tawaran untuk menjual saham Maybank antara RM8.00 dan RM8.05 sesaham.

Felda merupakan pemegang saham keempat terbesar Maybank dengan memegang kepentingan 1.82 peratus atau 185.150.000 saham.

Sementara itu, Shahril berkata hasil daripada penjualan dan pencairan aset itu akan digunakan bagi membantu peneroka dan untuk tujuan pengurusan lembaga tersebut.

“Kita ada keperluan lain nak ditampung. Pendapatan Felda bukan sepenuhnya dari peneroka kerana kita tidak memiliki kebun peneroka.

"Peneroka dapat seratus peratus hasil dari kebun mereka tetapi dari segi komuniti ada pembangunan dan perbelanjaan yang diperlukan dari segi operasi, kita sebagai sebuah kumpulan dan skim yang kita laksanakan untuk peneroka dan komuniti.

“Kita lebih mungkin akan belanja di peringkat pengurusan kita, untuk kepentingan peneroka,” katanya.

 

 

 

 

Lihat Komen
ADS