Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Annuar digantung tugas
Diterbitkan:  Jan 31, 2017 12:30 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini menggantung tugas pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, berkuat kuasa serta-merta.

Turut digantung, jawatan Annuar sebagai pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB).

Dengan itu, semua tugas Annuar di agensi berkenaan kini dipangku Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob, lapor BH Online.

Difahamkan keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat tergempar yang bermula sejak jam 9 pagi tadi di Ibu Pejabat MARA, di Kuala Lumpur.

Menurut laporan sama, mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Yusof dan Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin.

Yusof berkata, Annuar sudah dimaklumkan mengenai penggantungan tugasnya dan beliau akur dengan keputusan itu.

Keputusan itu dibuat 20 hari selepas Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Iskandar memuat naik statusnya berhubung penajaan Pelaburan MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang "dipaksa" untuk menaja skuad Liga Super Kelantan.

Annuar menafikan kenyataan itu sejurus kemudian. 

Menulis di Facebook, Ketua Penerangan Umno itu berkata "MARA tidak pernah menaja" walau satu sen pun untuk skuad The Red Warriors (TRW).

Penggunaan logo 50 Tahun MARA pada bahagian lengan jersi pasukan TRW itu pula, kata Annuar, dipamerkan secara percuma walaupun ia bernilai RM250,000.

Pada 13 Januari Annuar memberi kenyataan berbeza. Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu berkata, beliau "difahamkan” terdapat surat menyurat, baucar dan dokumen lain antara The Red Warrior Sdn Bhd dan UniKL.

“Bagi saya, kita ucapkan terima kasih atas edaran itu kerana ia menunjukkan kedua-dua pihak lakukan dengan begitu teratur. Ada surat tawaran, ada rundingan dan tawar menawar, ada kontrak, ada baucar, ada resit dan lain-lain.

“Saya percaya bukan dengan UniKL sahaja tapi semua penaja lain. Semuanya di buat secara tertib dan berperaturan,” katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Annuar dan masih menunggu reaksi beliau. Difahamkan anggota parlimen Ketereh itu berada di New Zealand sekarang.

Sementara itu Bernama melaporkan Ahli Majlis MARA memberitahu penggantungan tugas berkenaan dibuat bagi membolehkan isu wang tajaan daripada Pelaburan MARA dan UniKL disiasat.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS