Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan agar tidak bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sebaliknya, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Kedah), Datuk Azmi Che Hussin berkata cukuplah bekas perdana menteri itu hanya menjadi penasihat kepada partinya.

"Kita hormati Tun (Mahathir) sebagai penasihat kepada parti. Jadi, cukuplah Tun sebagai penasihat parti sahaja dan tak perlulah bertanding," kata Azmi kepada Malaysiakini.

Hampir 15 tahun bersara, di usia emas 91 tahun, Mahathir dilaporkan mungkin membuat kejutan dengan kembali ke parlimen.

“Mengapa dia mahu saya pergi ke tempatnya? Datanglah ke tempat saya. Awak menteri seluruh negara, bukan untuk Padang Rengas saja," beliau dipetik sebagai berkata di Facebook Mukhriz Mahathir FC.

Selain pengerusi BERSATU, Mahathir baru-baru ini turut diumumkan sebagai ketua BERSATU untuk bahagian Langkawi, Kedah.

Bagaimanapun, Setiausaha agung BERSATU Datuk Sharuddin Md Salleh ketika dihubungi Malaysiakini hari ini menafikan Mahathir akan bertanding pilihan raya.

"Tak ada cerita soal bertanding buat masa ini, Tun Mahathir hanya dilantik sebagai ketua penaja BERSATU Langkawi," katanya.

Sementara itu, anggota Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad yang dihubungi enggan mengulas kenyataan itu.

Manakala, anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharom hanya ketawa bila diajukan soalan Mahathir mahu bertanding dalam pilihan raya.

"Ya ke?" soalnya yang juga Timbalan Menteri Pertahanan diiringi gelak tawanya dalam perbualan ringkas dengan Malaysiakini.

Mahathir, perdana menteri selama 22 tahun, amat sinonim dengan pembangunan pulau pelancongan terkenal di utara semenanjung Malaysia itu.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN menang dengan majoriti 11,861 undi di kawasan parlimen majoriti Melayu itu.

Nawawi memperolehi 21,407 undi dengan mengalahkan Ahmad Abdullah (PKR) dengan 9,546 undi dan Marina Hussein (bebas) yang mendapat 180 undi.

Lihat Komen
ADS