Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Skandal penjualan rumah kuota Melayu-Bumiputera di Johor bukanlah tuduhan yang dibuat oleh parti pembangkang. Skandal berkenaan terdedah apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap beberapa individu, termasuklah exco berkenaan.

Pihak parti pembangkang tidak terlibat langsung sekiranya mahu disebut sebagai usaha memburukkan pimpinan atau kerajaan Johor. Tangkapan demi tangkapan menunjukkan seolah-olah rasuah atau penyalahgunaan kuasa sebenarnya hanya “isu tepi”.

Semua kelakuan tidak bertanggungjawab seperti yang terjadi sepanjang seminggu lalu wujud apabila dasar kerajaan negeri Johor sendiri yang memang mahu melepaskan kuota rumah Melayu-Bumiputera kepada bangsa lain. Konon ceritanya, dasar berkenaan dibuat bertujuan mengumpul tabung dana untuk membina rumah mampu milik yang akhirnya juga akan dijual kepada orang Melayu.

Dasar walhasil balik asal ini samalah seperti bidalan orang tua-tua, “gali lubang timbus lubang”. Masalah orang Melayu yang tidak mampu membeli rumah akan tetap berterusan. Apakah ertinya harta yang bernilai tinggi digadai untuk menyediakan atau membeli harta baharu yang bernilai rendah?

Kerajaan Johor dilaporkan sudah menabung hasil sebanyak RM600 juta hasil gadaian kuota rumah Melayu-Bumiputera sebelum skandal berkenaan terdedah.

Penduduk negeri Johor tidaklah sepadat populasi di Lembah Klang. Saiz negeri Johor yang jauh lebih besar berbanding Selangor dan Pulau Pinang, misalnya, menjadikan persoalan tanah bukanlah masalah yang terlalu mencabar bagi membina rumah untuk rakyat. Rumah tidak akan boleh dibina tanpa tanah.

Cabaran di Selangor dan Pulau Pinang adalah lebih berat apabila kedua kerajaan ini ditadbir oleh parti yang berbeza dengan Putrajaya. Mustahil untuk Selangor dan Pulau Pinang untuk mendapat sokongan Putrajaya termasuk bantuan dana sepertimana yang boleh diperoleh Johor.

Atas alasan inilah, rakyat tertanya-tanya untuk apa kerajaan Johor bersusah payah mahu mempunyai dana khusus untuk kononnya membina rumah untuk rakyat, sedangkan antara Johor dan Putrajaya diperintah oleh parti yang sama.

Lebih tidak munasabah apabila bajet negeri Johor bukanlah terlalu besar iaitu hanya sekitar RM1 bilion sahaja berbanding Selangor yang membentangkan belanjawan lebih tiga kali ganda iaitu sekitar RM3.4 bilion.

Menteri besar Johor mengeluarkan kenyataan dan cuba mempertahan dasar pindah milik hartanah Melayu-Bumiputera juga wujud di negeri lain. Dia sebutkan secara khusus nama Selangor.

Memang di Selangor pun ada dasar pindah milik hartanah Bumiputera kepada bukan Bumiputera. Barang diingat, perbezaan ketara antara Selangor dan Johor ialah pelaksanaan dasar berkenaan sangat ketat. Kelulusan tidak akan berlaku hanya di peringkat exco, sepertimana di Johor.

Senja industri minyak

Skandal pindah milik rumah kuota Melayu-Bumiputera dalam sehari dua ini satu babak daripada realiti besar akan nasib Melayu khususnya, dan rakyat Johor amnya. Sebelum ini satu negara mendengar bagaimana penjualan hartanah dan unit kediaman besar-besaran kepada orang asing juga terjadi di bandar tengah laut Forest City. Nilai hartanah juga khabarnya di luar kemampuan warga Johor apabila kerajaan membangunkan Nusajaya di bawah projek Koridor Selatan.

Pada ketika semua projek pembangunan baru pesat dibangunkan, cara berfikir kerajaan Johor masih juga cara berfikir lama. Ketika kemajuan ingin dipaparkan kepada rakyat sebagai lambang kehebatan mentadbir, tidak pula difikirkan apakah sumber pendapatan rakyat juga mampu ditingkatkan? Apakah bentuk-bentuk ekonomi baharu yang boleh ditawarkan selain penjualan tanah dan wilayah kepada pihak asing, atau terlalu bergantung kepada hasil bumi?

Sebagai contoh, pembangunan di Pengerang yang melibatkan industri minyak dan gas bukanlah lagi satu bentuk pembangunan stabil dan mampan.

Di seluruh dunia, industri minyak dan gas berada dalam keadaan terkontang-kanting dan harga minyak jatuh sehingga ke paras bawah AS$50 setong. Keadaan tersebut sebenarnya sudah cukup untuk menggambarkan masa depan industri minyak dan gas berada pada waktu senjanya.

Dunia sedang bergerak ke arah industri yang lebih canggih dan mesra alam. Kereta elektrik sudah diciptakan. Pengangkutan awam seperti kereta api yang tidak berasaskan bahan bakar seperti minyak juga sudah wujud di banyak negara. Revolusi ini sebenarnya membuka peluang kepada penerokaan teknologi terkini sebagai asas kegiatan ekonomi.

Menteri besar Johor (gambar) turut bilang, dia tak mahu Johor terus kekal sebagai ceruk belakang kepada kemajuan Singapura. Ngomong memang mudah, namun dalam waktu sama tidak jelas kelihatan dasar-dasar kerajaan Johor yang mampu menandingi Singapura waima untuk 10-20 tahun ke depan sekalipun. Barang diingat, Singapura hari ini sedang berlumba-lumba untuk menjadi pemain utama ekonomi digital dan yang berteraskan teknologi mesra alam.

Sudah tentu semuanya bukan salah atau kelemahan Johor secara sendirian. Di peringkat Putrajaya pun masih berfikir cara lama di dalam merangka dasar-dasar ekonomi negara. Johor dan Putrajaya tak ubah ibarat cermin yang mengejek sama sendiri. Keduanya seakan-tetap terbelit kepada cara lama untuk memperoleh sumber pendapatan kepada kerajaan.

Rakyat Johor bukan manusia bodoh. Sepertimana manusia di negara paling maju sekalipun, rakyat Johor saya yakin juga manusia yang bijak dan kreatif. Hanya apa juga bentuk kreativiti rakyat wajarlah didorong dengan persekitaran yang sihat dan demokrasi yang subur. Sekali rakyat diajar untuk bergantung kuat kepada kerajaan dengan balasan mereka tidak boleh berlaku bebas dan berkreatif, manusia sebijak mana pun akan tumpul akal fikirannya.

Perlulah menjadi dasar kepada parti mana pun yang mahu menjadi pemerintah Johor selepas PRU kelak menjamin bahawa kebebasan dan demokrasi adalah aspek tertinggi bagi menjamin potensi rakyat dapat dimaksimumkan. Ukurannya mudah, di negara paling punya demokrasi seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan, maka tahap kreativitinya tinggi. Di negara yang kononnya dilihat stabil tetapi tidak mempunyai demokrasi seperti Brunei, Korea Utara, Syria dan Arab Saudi, maka kreativiti rakyat hampir tidak kelihatan sama sekali.

Demokrasi memang sebuah ruang yang kadang-kala merimaskan. Lebih-lebih lagi kepada pemerintah yang tidak suka kepada kegoncangan dan mahu terus menunjuk-nunjuk mana yang bagus dan mana yang tidak baginya. Di situlah ujian kepada pemimpin, sama ada kita benar-benar mencintai negeri atau sebenarnya hanya mencintai diri, parti dan kelompok kecil sendiri sehingga sanggup mengorbankan potensi rakyat.

Adab dan kesopanan orang Johor bermula apabila kita diberikan hak tersebut, dan, tidak ditikam belakang oleh pihak yang diberi kepercayaan untuk mentadbir negara dan bangsa. Sekali orang Johor hilang kepercayaan, sukarlah untuk berpatah semula.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini ialah pendirian penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS