Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Upacara 'raja bomoh' dah diharamkan, tegas Perak
Diterbitkan:  Mar 15, 2017 11:56 AM
Dikemaskini: 4:47 AM

Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim menegaskan upacara pembomohan Ibrahim Mat Zin atau lebih dikenali sebagai "Raja Bomoh" telah diwartakan haram bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.

Katanya, jawatankuasa fatwa negeri yang bersidang pada 17 hingga 19 September 2014 telah memutuskan bahawa amalan pembomohan yang dilakukan oleh Ibrahim berlawanan dengan hukum syarak.

Ibrahim terkenal menggunakan pelbagai peralatan dalam upacaranya seperti buluh, bubu, buah tembikai dan buah kelapa.

Zamri menegaskan mana-mana orang Islam di Perak yang mengingkari fatwa boleh diambil tindakan.

Kata Zamri, dalam konteks perubatan ritual yang dilakukan Ibrahim baru-baru ini sudah pasti beliau akan dikenakan tindakan sekiranya dilakukan dalam negeri Perak.

"Malah, mana-mana orang Islam atau kumpulan yang menjadi ahli atau pengikutnya juga boleh dikenakan tindakan di bawah enakmen tersebut.

"Jika perbuatan itu dilakukan di negeri lain maka pihak berkuasa negeri berkenaan perlu mengambil tindakan kerana urusan agama adalah di bawah urusan negeri masing-masing," Zamri dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.

Terdahulu, nama Ibrahim kembali disebut apabila sekian lama menyepikan diri, apabila sekali lagi mencuri tumpuan dengan ritual aneh.

Kali ini, Ibrahim bersama pengikutnya mengadakan upacara untuk melindungi Malaysia daripada ancaman negara asing, khususnya Korea Utara.

Dalam rakaman video dimuat naik di Youtube itu, Ibrahim bersama tiga pengikutnya dilihat berada di tepi sebuah pantai dengan membawa beberapa peralatan ritual.

Antara peralatan berkenaan berupa buluh kecil yang dijadikan teropong, dua biji kelapa dan lima meriam buluh.

Ibrahim yang tampil seperti kebiasaan dengan memakai baju kot, bertali leher serta bersongkok itu kemudian dilihat membaca doa.

Lihat Komen
ADS