Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP terserlah biadab, kata PAS Selangor
Diterbitkan:  Mar 16, 2017 6:00 PM
Dikemaskini: Mar 17, 2017 7:40 AM

PAS Selangor menganggap ucapan Anggota Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen, sebagai biadab dan menggambarkan sikap DAP apabila mengalahkan BN.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman, berkata kenyataan dibuat Chong semasa berbahas di Dewan Rakyat semalam jelas menunjukkan pendirian DAP dan sekutunya yang antiguru Islam di negara ini.

Katanya, jika DAP diberi peluang menguasai Putrajaya selepas pilihan raya umum nanti, perbalahan agama boleh tercetus.

"Dan kita yakin semua masyarakat termasuk Tionghua tidak bersetuju dengan provokasi DAP ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam semasa membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Chong membantah tindakan kerajaan menghantar guru Pendidikan Islam dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak.

Katanya, tindakan itu mengganggu keharmonian antara kaum di negeri berkenaan.

Satu rakaman video menunjukkan Chong berbahas dengan berkata: "Amatlah tidak sesuai untuk kerajaan menghantar guru-guru pendidikan Islam dari Semenanjung ke Sarawak.

"Janganlah mencemarkan pemikiran anak muda generasi baru Sawarak, janganlah membawa falsafah dan pemikiran yang sempit atas agama ini dari Semenajung ke Sarawak. Biarlah kita mengekalkan keharmonian antara kaum di Sarawak".

PAS sebahagian kerajaan Selangor

Kata Mohd Khairuddin, PAS Selangor meminta DAP tidak bermain isu agama dan perkauman kerana ia boleh mengundang suasana yang tidak elok.

DAP, kata ADUN Paya Jaras itu, dilihat tidak pernah cuba berbaik-baik dalam isu Islam sedang mereka sedar ia adalah agama Persekutuan.

"Apakah ini polisi sebenar Pakatan Harapan? Kita mahu mendengar pendirian daripada rakan Pakatan Harapan yang lain," katanya merujuk kepada gabungan pembangkang ketika ini yang membabitkan PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP.

Untuk rekod, PAS adalah sebahagian daripada parti politik yang membentuk kerajaan negeri di Selangor bersama ADUN PKR dan DAP.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dan 14 daripadanya dikuasai DAP, masing-masing 13 PKR dan PAS, manakala dua lagi diwakili AMANAH.

Pembangkang pula setakat ini menguasai 12 kerusi dengan semuanya dari Umno. Dua kerusi lagi adalah ADUN bebas.

Sebelum ini Dewan Pemuda PAS turut mengeluarkan kenyataan mengecam Chong.

Ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari, berkata ucapan anggota parlimen terbabit menunjukkan DAP “semakin ketara menonjolkan permusuhannya kepada Islam.”

Mereka juga mendakwa isu penempatan guru pendidikan Islam dari Semenanjung ke Sarawak sekadar “alasan lunak untuk menjustifikasikan motif terselindung”.

“Alasan atau hujah direka-reka telah ketinggalan zaman dan umpama katak di bawah tempurung,” katanya.

Lihat Komen
ADS