Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Malaysia bukan negara polis, Nazri tetap hadir 25 Mac

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz kecewa dan terganggu dengan tindakan polis yang menolak permohonan penganjur bagi perbahasan antaranya dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu ini.

Katanya, tidak ada alasan bagi polis untuk menolak permohonan itu kerana perbahasan itu bukan perhimpunan awam tetapi adalah wacana.

“Sejak bila kita jadi police state? Sejak bila hak individu boleh dihalang oleh orang lain.

“Ini bukan negara polis, ini Malaysia,” katanya dengan nada marah, kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Debat berkenaan dijadualkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar dan bakal menyentuh isu berbangkit dalam negara seperti skandal 1MDB dan Bumiputra Malaysia Finance (BMF).

“Saya agak terganggu. “Saya minta kepada Sinar Harian sebagai penganjur untuk teruskan penganjuran perbahasan ini.

“25 hari bulan saya datang juga, saya tidak mahu negara ini menjadi negara polis. Saya akan datang,” katanya.

Nazri juga menolak alasan perbahasan itu akan menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Katanya, sebagai seorang menteri, beliau bukan mahu menghasut mana-mana pihak bagi menimbulkan pergaduhan.

“Saya menteri, kalau pembangkang nak menghasut...

“Saya menteri , Tun Dr Mahathir bekas perdana menteri,” katanya sambil memberi jaminan tidak ada perkara yang tidak diingini akan berlaku.

Nazri yang terkenal dengan kelantangannya yang ada kala dianggap celupar oleh pihak lawan juga berikrar dirinya tidak akan bertindak kurang ajar ke atas bekas perdana menteri itu.

“Sebab itu saya ada cakap dengan orang Umno, jangan datang.Saya dah nampak dah ura-ura kata polis nak tahan, sebab tu saya kata jangan datang.

“Saya beri jaminan tidak ada benda yang tidak diingini akan berlaku. Saya bukan nak bertinju dengan Mahathir. Bukan nak maki hamun, saya cuma nak adakan wacana.

“Takut saya kurang ajar kut? Tapi saya tak akan kurang ajar, dia (Dr Mahathir) boss saya dulu.
Saya ingin beri jaminan (ini) kepada polis, tidak ada alasan bagi polis untuk menolak perbahasan ini,” katanya.

Nazri yang juga ahli parlimen Padang Rengas berkata beliau telah menghubungi Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad dan juga menerima surat kebenaran berkenaan.

“Saya tak faham kenapa pihak polis menolak hak saya. Dia kata ada beberapa (alasan)

“Sejak bila kita jadi negara polis? Sejak bila hak individu boleh dihalang oleh orang lain,” katanya.

Mengulas dakwa terdapat persatuan atau NGO yang cuba menghalang perbahasan itu, ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, beliau tidak tahu siapa mereka itu dan mengapa suara mereka begitu penting.

"Siapa NGO ini? Saya ahli parlimen sana (Padang Rengas) selama 22 tahun. Saya tidak fikir hendak berlaku pergaduhan, malah jika pengundi saya datang, mereka akan pastikan tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku.

"Kalau nak dengar NGO yang meletakkan hak itu lebih dari hak kami berdua, ini tidak betul. Macam saya ini komunis, pengganas ke. Saya menteri dan Tun Mahathir bekas pm. Apa kesalahan atau hasutan yang boleh kita buat?" soalnya.

 

Lihat Komen
ADS