Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inflasi naik, PAS gesa turunkan GST
Diterbitkan:  Mar 25, 2017 5:55 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Berikutan kadar inflasi mencecah 4.5 peratus pada bulan Februari, PAS hari ini menggesa supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diturunkan bagi meringankan beban rakyat.

"PAS mengulangi gesaan agar kadar GST diturunkan sejajar dengan kenaikan kadar inflasi.

"Memandangkan kadar inflasi telah naik sebanyak 1.3 peratus daripada bulan Januari ke Februari, maka sewajarnya kadar GST diturunkan daripada 6 peratus ke 4.7 peratus," kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan media.

Beliau berkata, kenaikan inflasi itu tidak mengejutkan ekoran tindakan kerajaan menaikkan harga minyak kepada RM2.30 seliter pada 1 Februari lalu tanpa 'mempedulikan kesan terhadap rakyat'.

"Perlu diingat, kadar inflasi sebenar adalah lebih tinggi dalam realiti.

"Ini bermakna harga barangan akan terus meningkat, rakyat yang sudah merana terpaksa lagi membayar lebih di bulan-bulan akan datang untuk segala jenis barangan konsumer," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, pengumuman harga minyak baru secara mingguan bukan cara holistik menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup rakyat.

Ini kerana kerajaan dikhuatiri akan menggunakan persaingan harga minyak antara stesen minyak bagi mencuri peluang mengenakan GST bagi pembelian petrol untuk mengelakkan penyelewengan.

Justeru katanya, penurunan kadar GST berupaya menstabilkan kuasa membeli dan seterusnya menurunkan tekanan pada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Tambahnya, pengurangan itu juga tidak mengurangkan nilai kutipan GST kepada kerajaan memandangkang harga barangan yang lebih mahal akan mengimbangi penurunan kadar cukai itu.

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa kadar inflasi di negara ini pada bulan lalu naik kepada 4.5 peratus, iaitu tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Pada masa ini, kerajaan mengenakan GST sebanyak 6 peratus kepada rakyat Malaysia.

Lihat Komen
ADS