Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pesan SPRM buat Umno: Bersama perangi rasuah
Diterbitkan:  May 11, 2017 11:40 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

Sempena sambutan ke-71 tahun Umno hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyampaikan ucapan tahniah kepada parti politik utama negara itu.

Bagaimanapun dalam mesej yang disampaikan itu, SPRM sempat memberi peringatan kepada anggota parti terbabit supaya sentiasa melaksanakan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberi rakyat.

"Justeru, pemimpin-pemimpin ini perlulah memastikan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan dilaksanakan dengan penuh berintegriti, serta menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

"SPRM berharap pemimpin-pemimpin ini akan mengambil serius tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dan melaksanakannya sebaik mungkin supaya masyarakat dapat menikmati manfaat yang disediakan oleh kerajaan untuk mereka," kata agensi antirasuah itu hari ini.

Umno mengadakan perayaan besar-besaran sempena memperingati sambutan penubuhan parti itu pada 71 tahun lalu.

Untuk meraikannya, Umno berkumpul di Stadium Nasional Bukit Jalil dan kira-kira 140,000 anggota dan penyokongnya akan hadir pada malam ini.

Orang ramai berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan, termasuk kereta dan motosikal dalam acara cabutan bertuah.

Perayaan itu dibuat ketika semua parti politik sedang bersiap sedia meraih sokongan pengundi menjelang pilihan raya umum ke-14 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Pemimpin Umno juga, kata SPRM, perlu memberi penekanan terhadap aspek memerangi rasuah dan salah guna kuasa agar dapat menjadi contoh yang baik kepada generasi yang akan memimpin negara ini pada masa akan datang.

Tidak ketinggalan SPRM mengingatkan pemimpin Umno supaya berperanan membentuk masyarakat yang bukan saja sejahtera tetapi beretika dan tidak sesekali terlibat dengan gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Justeru, kata SPRM, agensi itu berharap Umno dapat memberikan sokongan dan menjadi pendukung kuat Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) yang dilancarkan mereka baru-baru ini.

"SPRM turut berharap seluruh ahli dan pemimpin Umno bersama-sama kami dalam segala usaha untuk membersihkan Malaysia daripada anasir rasuah dan salah guna kuasa, serta menjadi penggerak utama kepada hasrat SPRM untuk menjadikan rasuah Musuh Nombor 1 Negara," katanya.

Lihat Komen
ADS