Paling Popular
Terkini

Pagi semalam, Khairul Nizam Abd Ghani menjangkakan pertemuan biasa dengan pegawai Kumpulan Perumahan Rakyat Kelantan (KPRK) untuk membincangkan masalah dihadapi orang ramai di negeri itu.

Tetapi apabila tiba di tempat yang sepatutnya, pengerusi Parti Sosialis Malasya (PSM) itu terkejut.

Katanya, dia menghulurkan salam kepada Pengarah Urusan KPRK, Nik Salman Nik Din, namun apa yang diterima adalah tamparan pada muka.

Seorang lelaki lain yang menemani Nik Salman kemudian datang secara agresif dan berlaku pergelutan, menyebabkan Khairul Nizam terpaksa mempertahankan diri.

"Pergaduhan berlangsung selama kira-kira dua atau tiga minit.

"Saya kena mempertahankan diri dan (semasa pergaduhan berlaku) beberapa peralatan dalam pejabat rosak," katanya menceritakan insiden itu kepada Malaysiakini hari ini.

Kira-kira jam 11 pagi semalam, Khairul Nizam - yang turut dikenali dengan nama Aduka Taruna - bersama beberapa pengadu mahu mengemukakan bantahan mengenai projek perumahan KPRK yang tergendala.

Mereka sepatutnya bertemu dengan Nik Salman untuk mendapatkan penjelasan.

Sebelum ini pun, kata Khairul Nizam, mereka sudah bertemu dengan pegawai KPRK terbabit beberapa kali dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Biasanya, mereka akan menjemput kami ke pejabat Nik Salman untuk mesyuarat tetapi semalam, kata Khairul Nizam, pegawai terbabit keluar dari pejabat bersama seorang lelaki yang mungkin pengawal peribadinya.

"Macam selalu saya hulurkan tangan untuk memperkenalkan diri walaupun dia sudah kenali saya.

"Mukanya ketika itu sangat marah, dan tiba-tiba dia menampar saya," katanya.

Pergaduhan itu akhirnya terlerai pengadu masalah perumahan dan Khairul Nizam mengeluarkan telefon tangan masing-masing untuk merakamkan kejadian berkenaan.

Katanya, PSM sebelum ini pernah membantu guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang membeli rumah KPRK yang terbengkalai selepas 90 peratus disiapkan.

Nafi ahli PAS

Menurut Khairul Nizam, Nik Salman begitu berang semalam kerana isu perumahan itu menjadi tular di media sosial apabila PSM membantu pembeli terbabit.

Semasa berbincang selepas pergaduhan dileraikan, Khairul Nizam mendakwa Nik Salman mengeluarkan notis kepada pengadu dan mengugut untuk membatakan perjanjian jual beli mereka kerana wujudnya campur tangan PSM.

Pada penghujung sesi perbincangan itu, kata Khairul Nizam, dia menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalaman.

"Tapi sebagai perlindungan, (saya beritahu dia) saya kena buat laporan polis.

"Nik Salman kata, terserahkan, tapi dia sudah buat laporan lebih awal mengenai kejadian itu," katanya.

Sementara itu Nik Salman ketika dihubungi Malaysiakini berkata, apa yang berlaku bukanlah isu besar.

Katanya, kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan pihak berkuasa wajar diberi ruang menjalankan siasatan terlebih dulu.

"Biarkan siasatan polis berjalan dulu," katanya.

Nik Salman juga menafikan dia adalah anggota PAS, sebaliknya mendakwa tidak menyertai mana-mana parti politik.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS