Seorang anggota Dewan Negara menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok kerana menayangkan video lucah seorang tahanan wanita yang melakukan ketuk ketampi sambil berbogel.

Senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, anggota polis lelaki yang bertanggungjawab merakamkan aksi tersebut juga perlu dikenakan tindakan kerana mencetuskan suasana tegang sehingga menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Bercakap kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini, beliau berkata, perbuatan pemimpin DAP yang menayangkan video tersebut di hadapan menteri dan wakil rakyat di Lobi Parlimen, bulan lalu telah menjatuhkan maruah tahanan wanita tersebut.

"Teresa patut didakwa kerana menjaja cerita lucah di Parlimen sehingga memalukan wanita itu, polis kita sebenarnya bagus, apa yang dilakukan ke atas tahanan terbabit adalah prosedur biasa.

"Disebabkan oleh perbuatan beliau itu, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid terpaksa ke China untuk meminta maaf sedangkan hari ini apabila membaca akhbar seluruh rakyat terkejut kerana tahanan itu adalah wanita tempatan berketurunan Melayu," katanya.

Salah siapa?

Selain itu, Syed Ali turut meminta polis bertindak lebih cekap dengan memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai status sesuatu kes secara lebih cepat dan tepat.

Meurut Bernama , beliau berkata, kelewatan polis mengumumkan hasil siasatan dan tindakan media menyiarkan kes itu secara meluas telah menjejaskan reputasi pasukan keselamatan dan memalukan negara.

Katanya, pendedahan tersebut telah menyebabkan banyak pihak termasuk menteri mengeluarkan pelbagai reaksi sedangkan kes itu boleh diselesaikan dengan cepat tanpa perlu menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas dan siasatan awam.

Terdahulu pada Persidangan Dewan Negara, beliau meminta Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Chia Kwang Chye menjelaskan siapa yang harus dipertanggungjawabkan berhubung insiden tersebut.

Chia bagaimanapun enggan menjawab soalan tersebut dan sebaliknya memberitahu, pemergian Azmi ke sana bukan untuk meminta maaf kepada kerajaan China berhubung isu ketuk ketampi tetapi berkaitan satu isu lain.