S. Kaliammal, balu Allahyarham Mohammad Abdullah @ M. Moorthy akan ditawarkan pekerjaan di syarikat Malaysia Explosive Ordnan (SMEO) di Sungai Buloh sebagai langkah lanjutan oleh kerajaan bagi membantu keluarga berkenaan.

Panglima Angkatan Tentera (ATM) Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mengeluarkan arahan supaya Kaliammal diberikan peluang pekerjaan di syarikat itu.

"Pada masa ini kita belum dapat menentukan jenis pekerjaan yang hendak diberikan. Tunggulah tidak lama lagi," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian diploma kepada pegawai tentera, polis, pegawai tadbir dan diplomatik di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera di Kuala Lumpur hari ini.

Kes Moorthy, yang memeluk Islam pada 2004 menjadi isu hangat apabila balunya dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan berebut untuk mengkebumikannya selepas di meninggal dunia pada 20 Disember lalu.

Menurut laporan Bernama, kes itu berakhir dengan perintah mahkamah dan allahyarham hanya dapat dikebumikan secara Islam pada 28 Disember.

Minggu lalu, Kementerian Pertahanan menaikkan pangkat allahyarham daripada koperal kepada sarjan berkuatkuasa Jun 2005 sebagai menghargai jasa bekas komando itu mengharumkan nama negara menerusi pendakiannya ke puncak Gunung Everest, dengan pencen bulanannya dinikmati sepenuhnya oleh balu allahyarham.

Kaliammal yang baru berpindah ke rumahnya di Sungai Buloh dari kuarters tentera Taman Tun Hussein Onn, Setiawangsa baru-baru ini, memohon kepada pihak tertentu supaya diberikan pekerjaan bagi membolehkannya menyara kehidupan beliau bersama anak tunggalnya, M. Theneswary, 9.