Negara masih mempunyai bilangan pekerja asing tanpa izin yang besar walaupun pelbagai usaha menangani masalah ini telah dilakukan sejak setahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlahnya dianggarkan antara 300,000 dan 500,000 orang.

" Angka itu masih besar tetapi ia mencatatkan penurunan berbanding sebelum ini."

"Anggaran berbeza-beza tapi kita jangkakan kira-kira 300,000 hingga 500,000 (pendatang tanpa izin) masih ada lagi di seluruh negara dan kita akan teruskan operasi kita dengan pasukan Rela diberikan peranan utama," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing di Putrajaya.

Najib berkata jumlah pekerja asing yang sah di Malaysia sehingga 31 Januari lepas meningkat kepada 1,820,680 orang berbanding 1,615,863 orang yang direkodkan pada 5 Julai 2005.

Menurutnya, Indonesia masih menjadi negara sumber utama dengan membekalkan 65.94 peratus pekerja asing kepada Malaysia diikuti Nepal (10.92 peratus) dan India (7.56 peratus).

"Kita mengambil maklum bahawa tindakan terhadap pekerja tidak sah sudahpun melihat kesan positif dengan bilangan operasi bertambah dan bilangan yang ditangkap berkurangan. Ini bererti bilangan pekerja tidak sah sudah berkurangan," katanya.

Najib mengumumkan bahawa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dilantik sebagai badan yang bertanggungjawab menguruskan kemasukan pekerja dari India.

Beliau turut memberikan pecahan bilangan pekerja asing mengikut sektor dengan pembuatan mencatatkan bilangan terbanyak iaitu 591,363 orang (32.48 peratus) diikuti perladangan (412,923; 22.68 peratus) dan pembantu rumah (319,383; 17.54 peratus).

Sektor lain ialah pembinaan (282,361; 15.51 peratus), perkhidmatan (161,015; 8.84 peratus) dan pertanian (53,635; 2.95 peratus).

Jawatankuasa itu juga bersetuju supaya rundingan berhubung perjanjian mengenai pengambilan pekerja asing dengan Indonesia diteruskan supaya ia dapat dimeterai tidak lama lagi.

Pekerja India

Selain itu, Najib berkata anak syarikat CIDB iaitu Construction Labour Exchange Berhad (CLAB) akan mengendalikan urusan permintaan syarikat pembinaan untuk mendapatkan pekerja mahir.

"Syarikat pembinaan biasanya memerlukan pekerja mahir untuk tempoh tertentu dan selepas itu mereka boleh bekerja dengan syarikat lain. CLAB memainkan peranan sebagai bursa tenaga kerja untuk memadankan permintaan bagi pekerja antara syarikat terbabit," katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa konsep "pusat sehenti" untuk memudahkan pengambilan pekerja asing yang dilaksanakan sejak 1 Ogos 2005 mendapat sambutan baik pihak swasta.

Setakat ini, sebanyak 152,694 pekerja asing telah masuk melalui kaedah itu dan menurut Najib, konsep itu akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

Katanya bagi membolehkan kelulusan lebih segera diberikan, jawatankuasa itu menyarankan supaya majikan membuat permohonan bagi mendapatkan pekerja melalui apa yang dipanggil "Job Clearing System" dengan lebih awal.

"Ia membolehkan kita tentukan tidak ada pekerja tempatan yang memohon sesuatu jawatan dan dengan itu ia bolehlah ditawarkan kepada pekerja asing," katanya.

Mesyuarat hari Khamis memutuskan supaya pemeriksaan doktor wajib bagi pekerja asing turut dijalankan pada tahun kedua kerana didapati penyakit serius yang sudahpun terhapus di negara ini, masih dapat dikesan di kalangan mereka.