Wanita PKR membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Eric See-To atau Lim Sian See berhubung hantaran yang didakwa mempersendakan ungkapan berkaitan ayat suci al-Quran.

Exco Wanita PKR Farahida Fauzi berkata laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada kira-kira 12 tengah hari tadi supaya siasatan sewajarnya dilakukan.

“Pihak berkuasa diminta menjalankan siasatan dengan segera, telus dan tanpa pilih kasih. Sekiranya terbukti berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan tegas hendaklah diambil tanpa berlengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Farahida yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR Pahang turut mengingatkan masyarakat agar tidak mempermainkan agama bagi meraih perhatian, mencetuskan provokasi atau mengejar populariti.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak individu itu memohon maaf secara terbuka kerana mempersenda penggunaan perkataan “Lighad” dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai memperlekehkan ayat suci al-Quran yang tidak boleh dipandang ringan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menegaskan kesucian al-Quran sebagai sumber utama ajaran Islam hendaklah sentiasa dihormati dan dipelihara.

Beliau berkata sebarang tindakan memperolok-olokkan atau menghina lafaz suci al-Quran adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh menyentuh sensitiviti umat Islam.

- Bernama


BACA BERKAITAN:

Lighad bukan liwat: Pemuda Umno tuntut maaf, See-To salahkan Anwar

'Kenyataan See-To tak boleh dianggap permainan kata-kata' - Pemimpin, ahli akar umbi Melayu DAP