Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIAM) di Kuala Sungai Baru, Melaka bimbang masalah pencemaran dari ladang babi di sekitarnya boleh menjejaskan kemasukan pelajar ke kolej tersebut.

Pegawai Perhubungan Awam KTIAM, Fazura Mustaffa berkata, ramai pelajar dan ibubapa merungut tentang pencemaran bau dari adang ternakan babi itu yang mengalir ke dalam taliair di sekitar kawasan kolej berkenaan..

"Mereka tidak selesa dengan persekitaran yang dicemari bau busuk dan pihak kolej telah meminta pihak berkenaan mencari jalan menyelesaikannya dengan segera," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Pencemaran bau itu datang dari taliair di hadapan dan di tepi kolej berkenaan. Tali air tersebut dicemari najis babi dari ladang ternakan di sekitar Kuala Sungai Baru dan Paya Mengkuang di Alor Gajah.

Fazura berkata, tiada guna KTIAM mempunyai kemudahan lengkap tetapi dibelenggu masalah pencemaran bau yang dihasilkan dari tali air tersebut.

Pada masa ini, kolej berkenaan mempunyai 2,200 pelajar dan akan mengambil kira-kira 1,000 pelajar baru bulan depan, termasuk 30 pelajar luar negara.

Bila angin kencang

Fazura berkata, bulan lalu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ada menjalankan kerja pembersihan taliair berkenaan tetapi masalah pencemaran bau masih berlaku, terutama ketika hujan dan apabila angin kencang.

Beliau berkata, pihaknya bimbang, jika masalah ini berterusan, ia akan menjejaskan kemasukan pelajar ke kolej ini memandangkan persaingan untuk mendapatkan pelajar semakin sengit.

Sementara itu JPS Melaka pula menyatakan, ia bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) untuk membersihkan taliair di hadapan KTIAM.

Menurut Ketua Unit Sungai JPS, Nora Ibrahim, operasi pembersihan taliair berkenaan bergantung kepada keperluan dan pihaknya sentiasa bersedia membersihkan terusan tersebut bila-bial m,asa diperlukan.

Sungai Tuang

Mengenai pencemaran Sungai Tuang pula, beliau berkata, JPS tidak akan menutup sungai tersebut yang menghubungkan pusat ternakan babi di Paya Mengkuang dan Bukit Beruang dengan Selat Melaka.

Nora berkata, jika anak sungai tersebut ditutup ia akan menyebabkan berlaku limpahan najis babi ke kawasan kampung berhampiran.

"Apa yang JPS akan buat ialah membersihkan aliran anak sungai supaya bahan buangan najis babi dari kedua-dua tempat ternakan babi itu boleh mengalir lebih cepat ke Selat Melaka," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan meneruskan kerja-kerja membuang lumpur dan buangan najis babi dari ladang Paya Mengkuang dan Bukit Beruang.

Prosedur JPS ialah membersihkan sungai setiap tiga bulan kerana cara ini sudah memadai untuk membersihkan bahan buangan di dalam sungai dan taliair berkenaan.

Menurut Nora lagi, sebelum ini pihaknya menggunakan teknik memasang penapis untuk menjernihkan air sungai.

Bagaimanapun, katanya projek itu terpaksa dihentikan kerana kos pengurusan tinggi manakala pengusaha ladang babi pula tidak mahu membiayainya.

Bahagian pertama: Penduduk mahu ladang babi ditutup

Bahagian kedua: Penternak babi mahu pampasan dan kawasan baru