Kerajaan sedang menimbang untuk menaikkan harga subsidi gas asli untuk meringankan tekanan terhadap syarikat minyak negara, Petronas.

Menurut Menteri Tenaga, Datuk Seri Lim Keng Yaik, Petronas yang meminta kenaikan harga tersebut, kini berdepan "tekanan yang besar" untuk memenuhi permintaan dalam negeri bagi bekalan gas pada harga subsidi,

Lim berkata, Petronas kini membekalkan gas pada harga RM6.40 per mbtu, jauh di bawah harga pasaran RMRM14 hingga RM18 per mbtu.

Bagaimanapun, Lim berkata, kerajaan juga akan mengambil kira impak kenaikan harga itu terhadap para pengguna.

Katanya, kenaikan harga gas akan turut menaikkan harga lain yang akan ditanggung oleh pengguna.

"Kita belum bersedia untuk melakukannya sekarang," katanya dalam laporan Bernama Sabtu lalu.

Bulan lalu, kerajaan telah menaikkan tarif elektrik untuk pertama kalinya sejak hampir satu dekad lalu berikutan kenaikan harga minyak.

Petronas telah menaikkan harga gas asli Disember lalu, tetapi selepas bantahan orang ramai, kerajaan telah meminta Petronas supaya menarik balik kenaikan tersebut.

Lanjutan kontrak IPP

Petronas telah membekalkan gas yang diproses kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) pada kadar harga subsidi sejak 1997.

Lim berkata, pemintaan Petronas untuk menaikkan harga gas itu akan hanya dipertimbangkan selepas selesai perbincangan antara kerajaan dengan IPP.

Bagaimanapun, tiada tempoh tertentu ditetapkan bagi perbincangan tersebut.

Menurut laporan akhbar, kerajaan sedang berusaha untuk merunding semula kontrak antara TNB dengan IPP untuk menangani harga minyak dan gas yang telah meningkat.

Menurut laporan, pihak kerajaan dijangka menawarkan kontrak lanjut kepada IPP sekiranya mereka mengurangkan kadar bayaran yang dikenakan terhadap TNB. Terjemahan