Umno Bahagian Seremban tidak puas hati dengan cara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menangani kritikan-kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan.

Ketua Umno bahagian berkenaan, Datuk Ishak Ismail berkata, ahli Umno Seremban juga tidak setuju dengan tindakan menteri-menteri kabinet mengkritik bekas Perdana Menteri itu secara keterlaluan.

"Isu ini menjadi perbualan hangat di kalangan 18,000 ahli parti dari 62 cawangan dan rata-rata mereka tidak puas hati dengan tindakan menteri kabinet mengkritik Tun Dr Mahathir secara keras..

"Maklum balas yang saya terima dari ahli Umno di Seremban ialah mereka tidak setuju dengan tindakan keterlaluan beberapa orang menteri kabinet itu," katanya ketika dihubungi semalam.

Ishak bertanya, mengapa apabila Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu mengkritik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Abdul Samad, semua menteri berdiam diri.

"Mengapa mereka tidak membela Datuk Shahrir. Jelas Para menteri kita begitu lantang mengkritik Dr Mahathir semata-mata untuk membodek supaya mendapat tempat dalam kabinet," ujarnya.

Banyak berjasa

Beliau menambah, perselisihan di antara Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri itu tidak akan berlaku jika Abdullah menghormati Dr Mahathir sebagai bekas negarawan ulung yang banyak berjasa kepada negara.

Katanya, Abdullah sepatut mencontohi apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir sebelum ini iaitu melantik Datuk Syed Hamid Albar sebagai menteri kerana menghormati jasa ayahnya Datuk Jaaffar Albar yang pernah menjadi Ketua Pemuda Umno hingg a digelar ' Singa Umno'.

"Dr Mahathir melantik Datuk Seri Mohd Najib kerana menghargai bapanya yang pernah menjadi Perdana Menteri dan juga melantik Datuk Hishamuddin Hussein kerana jasa bapanya Tun Hussein Onn kepada negara.

"Apa salahnya Abdullah melantik anak Dr Mahathir, Datuk Mukhriz sebagai seorang senator dan kemudiannya melantik sebagai Setiausaha Parlimen bagi mengenang jasa ayahnya," katanya lagi.

Ishak adalah antara beberapa orang pemimpin Umno bahagian yang bersuara lantang pada zaman pemerintahan Dr Mahathir dahulu.

Menurut beliau lagi, ahli Umno Seremban menyokong tindakan Dr Mahathir mengkritik kerajaan kerana kritrikan beliau mendatangkan kesan.

Tidak jejas parti

"Apa salahnya Dr Mahathir mengkritik Abdullah jika apa yang dilakukannya itu betul dan untuk memberi kebaikan kepada negara terutama dalam isu Jambatan Indah," tambah beliau.

Menurutnya lagi, sehingga hari ini ahli Umno di bahagiannya tidak dapat menerima alasan pembatalan jambatan tersebut kerana tidak ada penjelasan yang menyakinkan dari kerajaan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, isu perselisihan faham Dr Mahathir-Abdullah itu tidak menjejaskan kekuatan parti dan majlis penerangan mengenai perkara itu tidak perlu diadakan.

Perselisihan faham antara Dr. Mahathir dengan pucuk pimpinan kerajaan berlarutan sejak dua bulan lalu hingga menimbulkan spekulasi bekas Presiden Umno itu akan dipecat dari parti itu minggu lalu.

Bagaimanapun Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat semalam dikatakan tidak membincangkan isu pemecatan itu.

Isu pemecatan Dr. Mahathir itu ditimbulkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa Rabu lalu dalam sidang akhbarnya di Kota Bharu.