Dr M: Saya akan cari sampai ke lubang cacing...
Saya akan cari sampai ke lubang cacing! Begitulah tekad bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkannya.
Saya akan cari sampai ke lubang cacing! Begitulah tekad bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkannya.
Perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Mahathir termasuklah keputusan kerajaan membatalkan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor, mengenai Proton termasuk MV Agusta serta pemberian Permit Import (AP).
Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa semua kementerian berkaitan akan menjawab semua isu-isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir itu.
Sehingga ini, hanya Proton yang telah menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir berhubung syarikat pembuat kereta nasional itu.
Dan Dr Mahathir nampaknya mahu lebih daripada setakat penjelasan daripada pihak kerajaan.
"Ia bukan hanya setakat memberi penjelasan, seperti pembatalan projek jambatan separuh, mereka mesti memperbetulkan apa yang salah. Jika anda kata tidak boleh (meneruskan pembinaan projek jambatan tersebut), saya akan mempertikaikannya," kata Dr Mahathir.
Beliau menegaskan demikian dalam sidang akhbar selepas memberi ceramah awam di Taman Melawati, Hulu Kelang, anjuran bersama bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan portal berita malaysia-today.net .
Antara yang hadir ialah bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub; bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times , Datuk A Kadir Jasin dan pemimpin PAS Nasharuddin Mat Isa, Husam Musa, Mahfuz Omar and Salahuddin Ayub.
Dr Mahathir juga diminta mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz bahawa beliau tidak ada apa lagi yang hendak ditambah kepada penjelasan yang telah dibuatnya sebelum ini berhubung pemberian AP.
"Dia tidak menjelaskan apa-apa pun. Dia mesti menjelaskan mengapa beliau memberi AP dalam jumlah yang besar (kepada kumpulan orang terpilih).[...] Dia mesti jawab mengapa kedua-duanya itu masih menerima AP untuk mengimport kereta dan juga menjual AP," katanya.
Bekas Perdana Menteri itu merujuk kepada dua bekas kakitangan kementerian Rafidah yang diberi jumlah AP yang besar tahun lalu.
Mengenai Proton
Beliau juga ditanya mengenai jawaban pihak Proton terhadap persoalan yang dibangkitkannya, termasuk mengapa perkhidmatan Tengku Mahaleel Ariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan tidak disambung dan mengenai penjualan MV Augusta.
Dr Mahathir berkata, tidak ada apa-apa yang baru dalam penjelasan yang dibuat oleh Pengerusi Proton Datuk Mohamad Azlan Hashim Sabtu lalu.
Menurut Mohamad Azlan, Proton tidak menyambung perkhidmatan Tengku Mahaleel sebagai CEO untuk memperkukuh lagi syarikat berkenaan manakala alasan penjualan MV Austa antaranya ialah kerana ia sebuah syarikat motosikal.
Sebelum itu, dalam ceramahnya, Mahathir mengkritik Proton kerana "memecat" CEO yang membawa keuntungan kepada syarikat berkenaan dan mendakwa syarikat kereta nasional itu mengalami kerugiaan selepas perlantikan Mohamad Azlan.
Dr Mahathir juga mempertahankan pembelian MV Agusta Motors pada harga RM367.6 juta, sewaktu pentadbirannya, kerana menurutnya syarikat berkenaan mempunyai teknologi yang diperlukan untuk menghasilkan engin bersaiz kecil bagi Proton.
Malah, katanya, syarikat kereta terkenal yang lain seperti Honda, BMW dan Suzuki, juga semuanya bermula sebagai pengeluar motosikal.
Proton telah menjual MV Augusta kepada sebuah syarikat pelaburan Gevi SpA pada harga token satu euro pada Disember 2005.
'Pecat, pecatlah...'
Mahathir juga menegaskan bahawa kritikan kerasnya terhadap kerajaan tidak ada kena mengena dengan pihak pembangkang.
"Tidak sesekali. Saya tidak terbabit dengan pembangkang. Saya lakukannya sendiri," tegas Dr Mahathir apabila ditanya mengenai perkara itu.
Menjawab soalan lain, Dr Mahathir juga tidak kisah dengan khabar angin bahawa beliau mungkin dipecat dari Umno kerana membuat kritikan keras terhadap kerajaan.
"Pecat, pecatlah... Sayapun pernah dipecat sebelum ini," katanya kepada para pemberita.
Ditanya sama ada beliau menjadi sebab mengapa Majlis Tertinggi Barisan Nasional dan Umno tergesa-gesa bermesyuarat baru-baru ini, Dr Mahathir berkata:
"Anda kata mereka terganggu dengan apa yang saya kata. Tetapi dari apa yang saya nampak, semua mereka bersetuju dengan Perdana Menteri," katanya.
Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan para menteri, menteri besar dan ketua menteri dan pemimpin BN yang lain yang menyatakan sokongan penuh mereka terhadap kepimpinan Abdullah yang telah membatalkan beberapa keputusan yang dibuat sewaktu pentadbirannya.
Ditanya mengenai kenyataan bekas Timbalannya, Tun Musa Hitam yang menyifatkan beliau menghadapi Sindrom Pasca Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata:
"Dia memang sakit, sebab tu saya bagi dia jawatan (wakil khas Malaysia ke Bangsa-Bangsa Bersatu). Saya tidak minta apa-apa kerja (selepas bersara). Petronas bagi pada saya (sebagai penasihat). Tetapi mereka tidak pernah meminta nasihat dari saya. Mereka hanya bagi saya duit," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.