Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin `merempuh' sekatan polis di kawasan persidangan menteri-menteri luar Asean (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk menyampaikan memorandum bantahan kehadiran Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice.

Ini berikutan keengganan polis membenarkan Khairy dan Pemuda Barisan Nasional (BN) yang mengadakan demonstrasi membantah serangan Israel terhadap Palestin dan Lebanon dengan sokongan Amerika Syarikat memasuki kawasan berkenaan untuk menyerahkan memorandum bantahannya terhadap Rice..

Bagaimanapun, selepas hampir dua jam menunggu, Rice akhirnya bersetuju bertemu dengan Khairy bagi menyerahkan memorantum bantahan tersebut. Rice berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri AMM.

Sebelum itu, keengganan Rice bertemu dengan Khairy menyebabkan ratusan Pemuda BN yang mengadakan demontrasi di luar KLCC mengancam untuk masuk secara kekerasan ke tempat mesyuarat AMM.

Ini menyebabkan pasukan keselamatan, termasuk anggota Unit Simpanan Persekutuan(FRU) dan pasukan berkuda mengawal ketat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Ratusan Pemuda BN berkumpul sambil menyanyikan lagu Barisan Kita di depan pintu masuk pusat konvensyen teresbut, menyebabkan anggota pasukan keselamatan meningkatkan langkah keselamatan.

Keadaan hanya menjadi reda apabila Ketua Pemuda Umno Melaka, Datuk Idris Haron mengumumkan bahawa Menteri Luar Datuk Syed Hamid Albar telah membawa Khairy bertemu Rice kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Serangan Israel

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Khairy berkata, rakyat Malaysia membantah kehadiran Amerika dalam mesyuarat AMM kerana menyifatkan negara itu sebagai pengganas.

"Walaupun kerajaan Malaysia membenarkan Rice menghadiri AMM, tetapi rakyat tidak rela beliau menjejakkan kaki di bumi ini.

"Beliau tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan Israel daripada membunuh rakyat Palestin dan Lebanon. Amerika adalah pengganas," katanya.

Khairy berkata, negara-negara Islam yang mempunyai senjata nuklear seperti Iran dan Pakistan perlu bertindak untuk menghentikan keganasan Israel.

Beliau juga menyeru negara-negara Islam supaya keluar secara beramai-ramai dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana pertubuhan dunia itu tidak berupaya menghentikan kekejaman Israel yang disokong oleh Amerika.

Ini adalah kali kedua Pemuda BN mengadakan piket secara aman membantah kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin dan Lubnan.

Minggu lalu, kira-kira 1,000 orang berarak dari KLCC ke Kedutaan Amerika Syarikat, Britain dan Perancis bagi membantah negara tersebut yang tidak mengambil sebarang langkah menghentikan pembunuhan Israel terhadap umat Islam Palestin dan Lebanon.