RM20 juta kos sistem keselamatan di kediaman PM
Memang sewajarnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat sistem kawalan keselamatan yang terbaik. Tetapi perlukah kosnya mencecah sehingga RM20 juta?
Memang sewajarnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat sistem kawalan keselamatan yang terbaik. Tetapi perlukah kosnya mencecah sehingga RM20 juta?
Inilah persoalan yang dibangkitkan oleh seorang Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat hari ini.
Tan Kok Wai (DAP-Cheras) berkata, beliau mempunyai maklumat yang boleh dipercayai bahawa kerja-kerja penyelenggaran dan penggantian untuk sistem keselamatan di Sri Perdana mencecah RM20 juta.
"Perdana Menteri, sebagai pemimpin tertinggi di negara ini, sewajarnyalah mendapat sistem keselamatan yang terbaik di kediamannya. Tetapi ada sesuatu yang mencurigakan mengenai sebutharganya yang terlampau tinggi," katanya.
Ahli Parlimen DAP itu turut memberi pecahan sebutharga (lihat carta) bagi barangan dan kerja-kerja yang terbabit bagi projek tersebut..
Mendahului senarai ialah sebutharga RM4.29 juta bagi kerja menaiktaraf halangan anti-keganasan, diikuti sistem pengesan pencerobohan (RM3.88 juta) dan RM3.46 juta lagi bagi sistem televisyen litar tutup (CCTV).
Manakala bayaran pampasan untuk pekerja, insurans, membersihkan sampah saraf dan kerja-kerja penyelaras pula berjumlah RM1.32 juta.
"Mengapakah sesetengah barangan ini, seperti CCTV, begitu mahal berbanding dengan harga biasa. Lagi pula, kira-kira 30 peratus daripada kerja-kerja dilakukan menggunakan produk tempatan," kata Tan yang turut mempersoalkan proses tender projek tersebut.
"Apakah ada tender terbuka untuk projek ini? Jika ianya tender terhad, mengapa syarikat berkenaan dipilih? Adakah Perdana Menteri telah mendapatkan nasihat pakar-pakar kerajaan (mengenai keselamatan) terlebih dahulu?.
"Sudah berapa lama Sri Perdana dibina? Mengapa kita terlalu cepat untuk menaiktaraf sistem keselamatannya," soalnya lagi.
Tan berkata, kerajaan patut memberi penjelasan mengenai perkara tersebut apabila pihak kementerian membuat penggulungan yang dijadual pada minggu depan.
Sri Perdana, yang terletak di pusat pentadbiran Putrajaya, berharga RM200 juta. Ia merupakan kompleks yang merangkumi kawasan seluas 16 hektar. Sri Perdana pada mulanya didiami oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mulai 1999.
Politik wang
Sementara itu, ketika membahaskan Bajet 2007, Tan juga menyentuh tentang pertelagahan antara Abdullah dan Dr Mahathir.
Menurutnya, arahan Abdullah kepada Umno Kedah supaya menyiasat dakwaan Dr Mahathir mengenai berlakunya politik wang dalam pemilihan Umno Kubang Pasu Sabtu lalu tidak lebih daripada 'satu jenaka'.
Tan berkata, ini kerana mereka yang diminta menjalankan siasatan tersebut adalah merupakan 'penggerak' yang bertanggungjawab terhadap kekalahan Dr Mahathir sendiri.
Jadi, tegasnya, bagaimanakah mereka ini boleh diharapkan untuk menjalankan siasatan tersebut.
"Dr Mahathir telah menjadi mangsa politik wang dalam Umno, (satu budaya) ciptaan beliau sendiri," katanya sambil menambah bahawa Abdullah sepatutnya mengarahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dakwaan tersebut.
Dalam satu lagi perkembangan, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook menggesa Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) supaya menyiasat Laporan Ketua Audit Negara 2005.
Laporan tersebut menyebut dana khas sebanyak RM41.4 juta telah disalurkan kepada Kerajaan Negeri Sembilan untuk membantu rakyat miskin, dan RM5.44 juta telah digunakan untuk membeli perabot untuk Majlis Daerah Seremban dan Port Dickson.
Sebanyak RM4.5 juta lagi dibelanjakan untuk menaiktaraf rumah tetamu kerajaan negeri sebagai kediaman rasmi Menteri Besar.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hasan telah menafikan laporan tersebut.
Lok, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak turut menyerahkan memorandum mengenai perkara tersebut kepada Timbalan Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw di Parlimen hari ini.
Tan berkata, PAC akan menyiasat laporan tersebut. Berita asal
Report this comment


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.