Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII yang berakhir semalam menyokong gagasan pembinaan bangsa Malaysia yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Sokongan tersebut merupakan satu daripada lima resolusi yang diputuskan oleh kongres tersebut semalam. Kongres berkenaan berlangsung dari 6 hingga 8 November di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kenyataan bersama yang mengandungi senarai usul tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Firdaus Abdullah dan Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Tan Sri Ismail Hussein.

"Keutuhan bahasa dan persuratan Melayu serta pembinaan kebudayaan kebangsaan perlu ditingkat agar berfungsi sebagai penggerak utama ke arah pembentukan sebuah negara bangsa mengikut acuan kita sendiri," tegas kedua-dua tokoh itu di dalam kenyataan tersebut.

Isu pembentukan bangsa Malaysia mendapat perhatian hangat awal minggu ini apabila Konvensyen Umno Johor menolak gagasan tersebut kerana tidak mahu wujud satu budaya dan bangsa "rojak" di negara ini.

Kongres tersebut dihadiri lebih 600 peserta daripada 59 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), DBP dan para pendukung bahasa, sastera dan budaya.

Peranan bahasa Melayu

Mereka turut mencadangkan kongres berkenaan diadakan secara berkala, sekurang-kurangnya dua tahun sekali, untuk memberi kesempatan kepada semua pihak memperkukuh dan memperbahrui azam membina bahasa, persuratana dan sebuah bangsa Malaysia.

Kongres berkenaan juga mendesak supaya dipertingkatkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa peradaban.

Mereka menuntut status bahasa Melayu sebagai pengantar utama dalam sistem pelajaran dikembalikan kepada keadaaan sebelum tahun 2002 termasuk menggunakan semula bahasa Melayu sebagai dalam pembelajaran subjek Matematik dan Sains.

Resolusi kongres tersebut turut meminta kerajaan membina dasar buku berbahasa Melayu untuk melengkapi kepustakaan ilmu, industri buku dan penyebarannya ke semua perpustakaan dalam negara.

Kongres itu juga mahu kerajaan sentiasa memberi pengiktirafan secara rasmi kepada para karyawan sastera kerana peranan dan sumbangan mereka terhadap daya cipta keagungan karya dan pembinaan sastera kebangsaan yang bermutu.

Selain itu, kongres itu turut menyambut baik langkah meminda Akta Bahasa Kebangsaan bagi memberi kuasa penuh kepada DBP sebagai agensi penguatkuasa terhadap segala kelemahan penggunaan dan pelaksanaan fungsi bahasa di negara ini.

Resolusi-resolusi ini akan diserahkan kepada Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesenian, Kebudayaan, dan Warisan serta Jabatan Perdana Menteri.