Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pak Lah: 'Orang tua' itu kacau rezeki Khairy
Diterbitkan:  Dec 12, 2006 3:20 PM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tampil sekali lagi mempertahankan menantunya Khairy Jamaluddin dan anaknya Kamaluddin Abdullah, kali ini dalam wawancara dengan akhbar Thailand, Bangkok Post.

Beliau memberitahu akhbar tersebut, "orang tua itu telah menabur pasir ke dalam periuk nasi Khairy," dengan merujuk kepada tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad "menyerang" menantunya itu dalam pelbagai isu beberapa bulan lalu.

"Inilah benda yang amat menyedihkan saya. Khairy terpaksa menjual kepentingannya dalam bank saudagar ECM Libra. Menjualnya dengan menanggung kerugian. Sekarang dia mempunyai hutang untuk dilunaskan,"tegas Abdullah.

Khairy, 31, yang merupakan Naib Ketua Pemuda Umno telah meminjam RM9.2 juta untuk membeli saham dalam ECM Libra. Bagaimanapun empat bulan lalu beliau menjual semua kepentingannya berikutan tekanan politik terutamanya kritikan berterusan dari Dr Mahathir yang mendakwa Abdullah mengamalkan nepotisme.

Pada Ogos lalu Naib Ketua Pemuda Umno itu menjual 10.2 juta saham yang merupakan 1.23 peratus ekuiti dalam ECM Libra pada harga 65 sen sesaham berbanding harga beliannya 71 sen pada Disember tahun lalu.

Antara persoalan yang ditimbulkan ialah bagaimana seorang tokoh muda seperti Khairy mampu meminjam wang begitu banyak untuk membeli saham-saham ECM Libra.

Kira-kira sebulan selepas Khairy memiliki saham dalam ECM Libra, kerajaan telah meluluskan cadangan penggabungan antara banki saudagar itu dengan firma kewangan dan perbankan milik kerajaan, Avenue Capital Resources Berhad. Entiti baru itu dikenali dengan nama ECM Libra Avenue.

Urusniaga itu menarik minat ramai terutamanya dari aspek percanggahan kepentingan dengan Abdullah kerana beliau juga merupakan Menteri Kewangan yang mengawalselia syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

Abdullah mendedahkan di dalam wawancara di Putrajaya itu bahawa beliau telah meminta Khairy jangan bergiat dalam politik dan perniagaan pada masa yang sama.

"Khairy mempelajari bidang falsafah ekonomi di Oxford. Dia mahu pergi kerja ke Hong Kong, tetapi amat jauh. Kemudian dia mahu berkerja di Singapura dan pada ketika itu juga dia dipilih sebagai Naib Ketua Pemuda Umno," cerita Abdullah tentang suami kepada anak perempuannya, Nori.

"Saya tanya pada dia, mahu masuk politik atau berniaga? Saya katakan yang dia tak boleh memilih kedua-duanya terutama sekali kalau mahu beroperasi dari Singapura. Pada ketika itulah dia ditawarkan menyertai ECM Libra. Selepas itu pelbagai cerita tentang Khairy timbul.

"Saya hairan apa semuanya ini? Mereka membuat pelbagai tohmahan untuk memburuk-burukkan dia, untuk menakut-nakutnya. Sebagai sebuah bank saudagar, firmanya beroperasi dengan baik. Pelanggan meminta bank tersebut melakukan pelbagai kerja. Segala tohmahan terhadap Khairy adalah ssuatu yang tidak wajar," tegas Abdullah lagi.

Perdana Menteri juga berasa sedih terhadap segala kritikan yang dilemparkan kepadanya dan keluarganya.

"Saya tahu sesiapa sahaja bebas bercakap tetapi kebebasan bersuara tidak bererti kita boleh menyerang seseorang sewenang-wenangnya. Itu bukan kebebasan bercakap namanya,"

"Cakaplah perkara yang benar, saya tidak menghalangnya. Anda mahu memberitahu saya apa-apa yang salah dan silap, saya tak kisah. Beri tahu pucuk pimpinan negara perkara sebenarnya. Saya suka jika ada orang yang mahu membantu saya membetulkan perkara-perkara yang salah," tambah beliau.

Abdullah juga mempertahankan anak lelakinya, Kamaluddin yang kini merupakan salah seorang ahli perniagaan paling berjaya di negara ini menerusi syarikatnya, Scomi Berhad.

"Saya berpendapat tuduhan seseorang pemimpin itu mengamalkan nepotisme adalah salah cara untuk menjatuhkannya, merosakkan kredibilitinya. Mereka akan melakukan apa sahaja. anak saya seorang peguam, dia sedar ayahnya seorang Perdana Menteri."

"Anak saya terlibat dalam perniagaan minyak dan gas. Dia beroperasi di 35 lokasi di luar negara. Dia mendapat beberapa kontrak dari Petronas menerusi tender antarabangsa secara terbuka. Dia membuat tawaran paling menarik, itulah yang dilakuykannya," jelas Abdullah lagi.

"Anak saya juga membeli beberapa syarikat yang dia kehendaki kerana kemampuan kejuruteraan dan peralatan syarikat berkenaan. Dia tidak membina syarikat itu dari bawah tetapi membesarkannya menerusi pengambilalihan dan penggabungan. Itu cara dia berniaga."

"Walaupun banyak pihak mengajaknya melakukan usahasama dengan syarikat berkaitan kerajan, dia menolak kerana dia mempunyai sumber kewangan yang cukup," ujar Abdullah lagi. Berita asal

ADS