Angkatan Muda Keadilan (AMK) memandang serius kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa tuduhan nepotisme terhadapnya bertujuan untuk menjatuhkan beliau, walhal dalam hal yang sama, beliau mengambil sikap mempertahankan anak dan menantu beliau.

Abdullah Ahmad Badawi mempertahankan mereka dalam wawancara dengan akhbar Thailand, Bangkok Post .

Anak lelakinya, Kamaluddin merupakan ahli perniagaan paling berjaya di negara ini menerusi syarikatnya, Scomi Berhad.

Manakala menantunya, Khairy Jamaluddin, 31, yang juga Naib Ketua Pemuda Umno, meminjam RM9.2 juta untuk membeli saham dalam ECM Libra, tetapi empat bulan lalu menjualnya ekoran tekanan politik, terutamanya dari Tun Dr Mahathir Mohadm yang mendakwa Abdullah mengamalkan nepotisme.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pemangku Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ini bukan pertama kali Abdullah mempertahankan anak dan menantunya di dalam media massa.

Sehubungan itu, katanya, AMK mencabar anak Kamaluddin (anaknya) dan Khairy menantunya) untuk tampil mempertahankan diri mereka secara sendirian, tanpa berselindung di sebalik nama dan institusi Perdana Menteri itu sendiri.

AMK mendesak Kamaluddin dan Khairy untuk mengikut prinsip "berani kerana benar, takut kerana salah" dengan mengisytiharkan kesemua harta dan kekayaan yang mereka miliki sebelum dan selepas Abdullah menjadi Perdana Menteri.

'Siasat laporan Gerak'

Tambahnya, AMK menyokong iltizam Abdullah untuk terus memerangi rasuah dan korupsi.

Sehubungan itu, tegas Shamsul, atas prinsip 'kepimpinan melalui teladan', AMK mencadangkan Perdana Menteri memanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk melakukan siasatan menyeluruh terhadap diri, anak dan menantu beliau, agar terbukti bersih daripada dakwaan amalan rasuah, dan salahguna kuasa.

"Dengan nada yang sama, AMK mencadangkan agar Abdullah segera mengarahkan para pegawai BPR menyiasat laporan yang dibuat oleh Pengerusi Gerak, Mohamad Ezam Mohd Noor terhadap anak beliau, Kamaludin di atas dakwaan salah gunakuasa.

"AMK percaya, negara mesti dipulihkan daripada amalan rasuah dan salahguna kuasa dengan kadar yang segera, apatah lagi di dalam keadaan Malaysia berada di tangga ke-44 Indeks Persepsi Mengenai Rasuah," tegas Shamsul.

Dalam wawancara dengan Bangkok Post itu Abdullah berkata, tuduhan seseorang pemimpin itu mengamalkan nepotisme adalah salah cara untuk menjatuhkannya, merosakkan kredibilitinya.

Di samping itu, Abdullah juga akhbar tersebut, "orang tua itu telah menabur pasir ke dalam periuk nasi Khairy," dengan merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad yang "menyerang" menantunya itu dalam pelbagai isu beberapa bulan lalu.

"Inilah benda yang amat menyedihkan saya. Khairy terpaksa menjual kepentingannya dalam bank saudagar ECM Libra. Menjualnya dengan menanggung kerugian. Sekarang dia mempunyai hutang untuk dilunaskan," tegas Abdullah dalam wawancara tersebut.