Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, kedudukan kewangan negara adalah kukuh dan tidak timbul soal Malaysia mengambil tindakan mengenakan semula kawalan modal, seperti yang berlaku di Thailand.

Sehubungan itu, katanya rakyat tidak perlu bimbang dengan perkembangan di negara jiran berkenaan.

Beliau berkata ini kerana kedudukan kewangan negara adalah kukuh setelah ia mengambil langkah dan dasar liberasasi sistem kewangannya untuk mengukuhkan ringgit.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata demikian kepada wartawan Malaysia di Caracas, Venezuela ketika diminta mengulas tindakan Bank Pusat Thailand Isnin lepas mengenakan kawalan modal terhadap pengaliran masuk modal bagi membendung baht Thai yang sedang meningkat.

"Rakyat tidak patut bimbang sangat tentang tindakan kerajaan Thailand kerana kedudukan kewangan kita kukuh," katanya yang kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Venezuela berakhir semalam.

Beliau berkata tiada tindakan susulan akan diambil kerajaan berikutan perkembangan itu, sebaliknya meneruskan apa yang kerajaan lakukan selama ini dan berharap rakyat yakin dengan kedudukan mata wang dan pasaran sekarang yang menunjukkan adanya fundamental yang kukuh.

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata perkembangan di Thailand itu tidak akan memberi kesan kepada ekonomi negara.

Ditanya mengenai kesan eksport Thailand yang menjadi semakin murah berikutan penurunan nilai matawangnya, katanya: "Biasalah apabila nilai wang turun, eksport akan menjadi lebih murah tapi yang pentingnya orang import berasaskan kualiti dengan harga berpatutan dan barang-barang yang kita eksport adalah berkualiti dengan harga berpatutan sebab itu kedudukan perdagangan kita baik."

Menjawab soalan lain, beliau berkata Malaysia memang sentiasa berharap pelabur datang melabur di Malaysia termasuklah membeli saham di pasaran saham.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz ketika diminta mengulas perkembangan itu berkata Malaysia tidak mempunyai masalah kerana matawangnya ada apungan terurus dengan ringgit turun naik dalam margin yang kecil.

Beliau berkata apa yang berlaku di Thailand bukanlah menandakan bermulanya krisis kewangan serantau kerana ia hanya membabitkan dasar Thailand terhadap pasaran modalnya.

Tindakan Thailand itu mendapat reaksi negatif daripada pelabur kewangan dan akibatnya pasarannya jatuh, katanya yang turut sama ke Caracas bagi mengikuti rombongan lawatan rasmi Abdullah.

Beliau berkata perdagangan Malaysia dengan Thailand juga tidak terjejas ekoran perkembangan terbaru itu.

Menjawab soalan lain, Rafidah berkata perkembangan itu mungkin memberi kesan positif kepada pasaran saham Malaysia ekoran pelabur kewangan Thailand yang menarik diri dari sana akan mencari pasaran saham yang lain.