Gabungan parti pembangkang, kesatuan dan pertubuhan bukan kerajaan akan mengadakan perhimpunan membantah kenaikan kadar tol di lima tol sekitar Lembah Klang Ahad ini.

Gabungan yang dikenali 'Protes Kenaikan Tol' akan mengadakan perhimpunan itu pada jam 4 petang di depan Kompleks Membeli-belah Sunway Piramid, Subang Jaya.

Sehubungan itu, setiausahanya, Dr Hatta Ramli menyeru orang ramai supaya turun beramai-ramai bagi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan kerajaan itu.

"Gabungan amat kecewa dengan kerajaan kerana tidak memberi sebarang maklum balas sehingga hari walaupun satu memorandum bantahan kenaikan tol diserahkan kepada Perdana Menteri tiga hari lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gabungan juga, tegasnya, telah mengadakan satu ceramah umum untuk membantah kenaikan tol pada hari yang sama.

Dedah kontrak

"Gabungan berpendapat bahawa sikap kerajaan yang tidak mempedulikan tuntutan rakyat dalam isu kenaikan tol telah bercanggahan dengan pendirian Perdana Menteri yang ingin dengar kata-kata benar daripada rakyat," tambahnya.

Tiga tuntutan yang dikemukakan oleh gabungan adalah:

Pendedahan kesemua kontrak di antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuhraya.

Kenaikan kadar tol yang diumumkan mulai 1 Januari lalu harus digantung.

Pendedahan semua pendapatan yang diaudit, yang dipungut oleh setiap syarikat konsesi lebuhraya.

Gabungan itu, kata Dr Hatta, menuntut kerajaan menjawab persoalan dan tuntutan rakyat dengan jujur kerana kenaikan tol itu akan membebankan warga Lembah Klang serta melibatkan kontrak antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuhraya.