Peraturan p'raya perlu dikaji semula, kata Pengerusi SPR
Jan 8, 07 7:24pm
Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mencadangkan agar sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi mengkaji semula undang-undang dan peraturan pilihanraya serta penstrukturan semula SPR.
Kajian semula itu, katanya, selain memberikan lebih kuasa kepada SPR, ia juga bertujuan menjadikan proses pilihanraya lebih telus, adil dan saksama kepada semua parti politik dan rakyat negara ini.
"Orang sekarang lebih pandai, negara juga dah moden. Orang bertanya kenapa tidak boleh dibuat pilihanraya yang lebih telus," kata Abdul Rashid kepada pemberita selepas sesi soaljawab di majlis pelancaran Akademi Pilihanraya di Bangi hari ini.
Katanya, undang-undang dan peraturan pilihanraya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini dan tidak lagi memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan terus wujud bagi semua pihak memandangkan keadaan sosial yang telah berubah.
Menurut laporan Bernama, Abdul Rashid berkata, walaupun kajian semula itu menyentuh perundangan dan peraturan pilihanraya, kuasa pembubaran Parlimen yang dimiliki kerajaan akan terus dikekalkan.
"Itu masih kekal pada bidangkuasa Yang di-Pertuan Agong. Sistem itu dikekalkan. Kita hanya perlu meminda beberapa undang-undang," katanya.
Institusi latihan
Abdul Rashid juga bersedia untuk menjadi penasihat kepada suruhanjaya bebas itu sekiranya khidmatnya diperlukan khususnya berkenaan kuasa yang perlu dimiliki oleh SPR dalam menjalankan tanggungjawabnya.
Mengenai penubuhan Akademi Pilihanraya itu, beliau berharap ia akan menjadi sebuah institusi latihan yang berupaya melahirkan petugas yang lebih cekap dan mampu menguruskan proses pilihan raya dengan sempurna.
Dengan wujudnya akademi itu, katanya, latihan dapat dijalankan dengan sempurna di bawah satu bumbung serta berupaya mewujudkan keseragaman dalam pengertian, pemahaman, persepsi dan penghayatan mengenai semua aspek yang berkaitan pengurusan pilihanraya.
Ketika ini, katanya, sesi latihan bagi petugas SPR (termasuk untuk pilihanraya kecil Batu Talam) dijalankan secara bergerak memandangkan akademi itu belum mempunyai bangunan sendiri.
Mengulas banjir yang kini melanda negeri Pantai Timur yang dikhuatiri akan mengganggu proses pilihan raya kecil Batu Talam 28 Jan ini, beliau yakin keadaan cuaca akan pulih menjelang pilihanraya seperti yang dijangkakan Jabatan Meteorologi,
"Saya tidak khuatir kerana Batu Talam atas bukit," katanya.