DAP: Internet, blog dan dunia maya buat k'jaan gelisah
Perkembangan pesat Internet, blog dan dunia maya telah mengubahkan dunia dan menyebabkan kerajaan menjadi gelisah, kata Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw.
Perkembangan pesat Internet, blog dan dunia maya telah mengubahkan dunia dan menyebabkan kerajaan menjadi gelisah, kata Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw.
"Di sesetengah negara seperti Brazil dan Korea Selatan, ada pengguna Internet dihadapkan ke mahkamah. Di Malaysia, kerajaan telah mengambil tindakan terhadap segelintir pengguna Internet.
"Pada akhir-akhir ini, dua blogger popular Jeff Ooi dan Ahiruddin Atan (Rocky Bru) masing-masing menerima perintah mahkamah dan saman dari New Straits Times Press (Malaysia) Berhad akhbar yang ada kaitan dengan Umno," tegasnya di forum DAP bertajuk 'Mendiamkan Dunia Siber - Perbatasan Terakhir?' di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur Selasa lalu.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kepong, mengesyorkan supaya ditubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Internet, blogging dan dunia maya untuk mengkaji peraturan atau ketiadaan peraturan bagi Internet bagi memastikan kebebasan media atau kebebasan pengucapan.
Blogging, katanya, berkembang pesat dan digunakan oleh pelbagai pihak, termasuk peniaga, dunia korporat dan peguam.
75,000 blogger sehari
"Dianggarkan, bilangan blogger di dunia bertambah sekurang-kurangnya 75,000 setiap hari. Di Malaysia, terdapat lebih 8.6 juta pengguna Internet. Kita tidak boleh menentukan bilangan blogger. Ia semakin hari, semakin ramai, tetapi belum sampai ke luar bandar," katanya.
Sehubungan itu, Dr Tan berkata, perlunya jawatankuasa pilihan Parlimen mengenai Internet untuk mengkaji peraturan dalam Internet
"Apakah implikasi tindakan undang-undang tersebut tentang pengguna Internet termasuk para blogger?
"Walaupun Akta Multimedia telah diluluskan di Parlimen pada 1998 kerana motivasi komersil, kerajaan berfikir bagaimana mengatasi janjinya untuk tidak ada penapisan Internet.
"Selagi kerajaan mengotakan janji, ia merupakan satu insentif bagi pelabur asing," tegasnya sambil bertanya apakah nilai yang letakkan oleh kerajaan ke atas sesuatu blog popular yang memuatkan perkara yang tidak cenderung kepada pemerintah.
"Apakah peraturan yang akan dikenakan terhadap Internet, sebelum blogging dapat mempengaruhi ramai pengundi?
"Kita berkehendakkan jawatankuasa pilihan Parlimen ini untuk mengkaji peraturan atau ketiadaan peraturan dalam Internet. Jawatankuasa ini perlu mengemukakan laporannya dalam tempoh enam hingga 12 bulan," tambahnya.
Malah, tegasnya, jawatankuasa yang sama boleh ditubuhkan di seluruh negara bagi membolehkan rakyat berbincang apakah jenis Internet yang dikehendak.

